Orang
Malaysia cepat terpengaruh ingin cantik cepat, ingin langsing, kuat tenaga dan
ingin cepat kaya dan seterusnya tertipu dengan gimik iklan atau produk yang
ditawarkan. Kenapa?''
Itu
soalan yang dilontarkan oleh Pengarah Loji Pepandu Kejuruteraan Kimia (CEPP)
Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof.
Dr. Ramlan Aziz yang ditanya
mengenai obsesi rakyat negara kita terutama orang Melayu dengan produk prosesan
hasilan herba.
Orang
Melayu kata beliau, cepat terpengaruh dengan gimik iklan pelaris jualan yang
menunjukkan kehebatan produk tertentu tanpa meneliti terlebih dahulu akan
kebenarannya.
Pengguna
juga mudah dan cepat mendapat hasil diingini tanpa mengira kesan sampingan
produk yang mereka gunakan.
Beliau
yang ditanya mengenai khasiat tongkat ali dan kacip fatimah untuk meningkatkan
kehebatan dan tenaga berkata, kajian menunjukkan memang produk berasaskan
tumbuhan tersebut mempunyai kesan positif tetapi ada pihak mengambil kesempatan
mengkomersialkannya dengan cara yang salah.
''Saya
tidak nafikan ada kajian mengesahkan khasiat kedua-dua herba popular itu,
malangnya ia menjadi momokan dan permainan gimik.
Malah
katanya, beliau kagum dengan orang terdahulu yang berjaya menemui khasiat
produk tersebut sedangkan belum ada kecanggihan peralatan ketika itu untuk
meneroka khasiatnya.
Namun
kini, ada dua persoalan besar yang menjadi masalah pokok iaitu sama ada produk
berasaskan tongkat ali dan kacip fatimah diproses dengan cara yang betul untuk
menjadikannya minuman bertenaga dan kedua, adakah produk tersebut mencapai
tahap minimum kandungan sebenarnya.
Katanya,
cara memproses, boleh menimbulkan persoalan kerana ada pihak mungkin hanya
mengisar tongkat ali berkenaan untuk dicampurkan dalam minuman.
Sedangkan
katanya, cara terbaik ialah mengekstraknya terlebih dahulu secara kimia dan
ditulenkan kerana ini cara betul untuk menjadikannya satu ramuan.
''Jika
kita kisar sahaja, ia ibarat memasukkan habuk kayu dalam minuman dan ini
membahayakan tubuh pengguna,'' katanya.
Malah
orang Melayu kata beliau, boleh pupus jika menggunakan produk yang memudaratkan
kerana ia boleh merosakkan organ peranakan.
Persoalan
kedua, ialah adakah kandungan tongkat ali atau kacip fatimah tersebut mencukupi
untuk melayakkannya digelar minuman daripada tongkat ali sedangkan kuantitinya
sangat sedikit.
Kajian
awal oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malayusia (FRIM) menunjukkan
kandungan tongkat ali dalam kopi campuran adalah jauh daripada dos minuman yang
memberi manfaat kepada kesihatan. Malah, ada jenama yang gagal dikesan
kandungan tongkat ali dalam produk berkenaan.
Justeru
beliau mahu agensi berkaitan, mengambil langkah perlu untuk menetapkan
peraturan supaya jumlah minimum tertentu diperlukan bagi mengesahkan minuman
tersebut memang mengandungi tongkat ali sebagai contoh dan mana-mana pihak yang
tidak mematuhinya dianggap penipu.
Lebih
mendukacitakan, sesetengah syarikat menggunakan testimoni untuk mengesahkan
kehebatan produk mereka dan inilah yang mengundangkan minat pengguna.
Beliau
berkata, trend ini semakin menjadi-jadi apatah lagi terdapat tawaran tertentu
untuk menjadikan penggunanya kaya.
Beliau
berkata, menggunakan produk berasaskan bahan semula jadi memang semakin menjadi
trend di peringkat global disebabkan kecenderungan manusia kini untuk melakukan
pencegahan penyakit berbanding rawatan, khususnya herba.
Dalam
hal ini, Malaysia mempunyai kelebihan kerana memiliki kekayaan hutan atau
biodiversiti yang boleh dimanfaatkan.
Bagaimanapun,
menjadi cabaran saintis Malaysia untuk menjalankan lebih banyak penyelidikan
mengenai khasiat tumbuhan herba dan peruntukan untuk tujuan tersebut perlu
ditambah.
Satu
lagi masalah yang timbul ialah perbuatan pengilang yang mencampurkan banyak
jenis herba dalam satu jenis produk dengan mendakwa yang mampu merawat pelbagai
jenis penyakit.
''Adakah
ini telah dibuktikan secara saintifik atau hanya ilmu tradisional sedangkan
kajian mengenainya perlu dilakukan terlebih dahulu," ujar Ramlan.
Perbuatan
untuk mengkomersialkannya secara melulu ini ibarat menculik ilmu yang sepatutnya
dipelajari terlebih dahulu.
Satu
lagi penyelidikan yang perlu diperhebatkan ialah menghasilkan sebatian piawai
yang boleh dijadikan rujukan dalam menghasilkan produk tongkat ali dan kacip
fatimah pada masa akan datang.
Berdasarkan
kajian kata Ramlan, tongkat ali mempunyai banyak khasiat antaranya meningkatkan
hormon lelaki dan dikatakan mampu membantu menguruskan badan.
Khasiat tongkat ali
Khasiat
ini disokong oleh satu kajian di Amerika Syarikat. Justeru, pada mana-mana
produk, ia sepatutnya sama kemujarabannya walaupun diambil daripada pokok herba
tertentu dari sumber yang menggunakan ekstrak piawai yang berlainan.
Sementara
itu, salah sebuah institusi penyelidikan yang terlibat dalam kerja-kerja makmal
mencari khasiat tongkat ali ialah FRIM.
Tongkat
ali (Eurycoma longifolia) adalah dari famili Simaroubaceae telah
digunakan secara tradisional oleh kaum Melayu di Malaysia sejak dahulu lagi.
Ia
digunakan secara tradisional sebagai agen penggalak seks (apphrodiasiac)
dan untuk meningkatkan kesihatan badan.
Penyelidikan
tersebut dijalankan di bawah projek utama Kementerian Sains, Teknologi dan
Inovasi (MOSTI) iaitu Program Perkongsian Bioteknologi Malaysia-Institut
Teknologi Massachusetts (MIT).
Menurut
Pengarah Kanan Bahagian Tumbuhan Perubatan FRIM, Dr Rasadah Mat Ali,
penyelidikan tersebut bermula pada 1999 yang mana pihaknya terlibat mengkaji
bahan kimia dan juga genetik tumbuhan tersebut.
"Hasil
kajian kita mendapati penanda kimia tongkat ali sejenis bahan di namakan eurikomanon dan juga sebatian aktif,"
katanya.
Pelbagai
sebatian kimia dalam tongkat ali telah diasingkan dan dikenalpasti. Pencirian
dan penentuan struktur sebatian kimia tersebut dilakukan menerusi kaedah
spektroskopi.
Beberapa
sebatian kimia telah dipilih sebagai sebatian penanda ekstrak tongkat ali.
Sebatian
penanda tersebut berperanan penting untuk memastikan identiti, integriti dan
kualiti serta keseragaman produk yang berasaskan tongkat ali.
Eurikomanon yang merupakan sebatian utama (major)
telah dipilih sebagai sebatian penanda untuk akar tongkat ali.
Peratus
pemulangan pengekstrakan eurikomanon daripada akuas ekstrak akar tongkat ali
adalah tidak kurang daripada 1.7 peratus.
Terkini,
FRIM telah menawarkan perkhidmatan teknikal kepada industri farmaseutikal,
nutraseutikal dan makanan, untuk penilaian kualiti ekstrak dan produk tongkat
ali.
Penentuan
kualiti juga dapat dihasilkan dengan teknologi sensor bau dan rasa yang telah
digunakan sebagai peralatan penjanaan finger-printing untuk aktiviti pempiawaian tumbuhan
ubatan, ekstrak dan herba produk.
Dengan
adanya penanda kimia tersebut, ia sebagai 'cap cari' tongkat ali yang
mengesahkan kehadirannya dalam mana-mana campuran pun.
Ditanya
mengenai kegilaan golongan lelaki yang minum tongkat ali untuk menambah tenaga
terutama untuk tujuan seks, beliau berkata, kajian mengenainya telah dibuktikan
tetapi biasanya pada dos yang disyorkan.
''Pengguna
sihat secara umumnya hanya memerlukan 100 miligram sehari sahaja," ujar
Rasadah.
Katanya,
memang benar ada kajian mengenai kandungannya yang dikenali sebagai kesan apphrodisiac tetapi kesannya bergantung kepada
dos.
Kajian
kimia mendapati kewujudan sebatian aktif seperti eurikomanon, eurikomalakton dan eurikomanol (qussinoids) yang banyak di
dalam akar.
Sebatian
ini telah dikenal pasti berkeupayaan untuk meningkatkan penghasilan hormon
testosterone (androgenic) yang diperlukan dalam fungsi kelelakian.
Sebatian
yang menyebabkan aktiviti tersebut telah dikenal pasti berpotensi untuk
dibangunkan sebagai produk nutraseutikal atau farmaseutikal untuk rawatan
masalah hormon dan kesuburan.
Apa
yang penting dalam pengambilan tersebut, dos penggunaan perlu diambil kira
kerana ada kemungkinan ia mengundang risiko kepada pengguna.
Hasil
kajian juga mendapati bahawa tongkat ali mempunyai sebatian aktif anti malaria
dan anti kanser tetapi kajian lanjut mengenai tumbuhan herba tersebut masih
dijalankan.
Ditanya
mengenai bahagian mana pada pokok tersebut yang paling banyak sebatian
bioaktif, Rasadah berkata, khasiatnya banyak tersimpan di bahagian akar selain
daun dan batang.
Orang
Melayu kata beliau hanya mengetahui rahsia khasiat pada 1990-an dan ketika itu
mereka menggunakannya dengan merebus bahagian yang dikatakan mempunyai banyak
khasiat.
Dengan
kata lain, apa yang dilakukan oleh saintis hari ini ialah untuk membuktikan
atau mengesahkan apa yang telah dilakukan oleh orang terdahulu.
Pembuktian
secara saintifik itu perlu bagi menguji keberkesanan, kualiti dan
keselamatannya.
Malah
FRIM telah menawarkan perkhidmatan memproses kepada industri herba dalam
penghasilan produk daripada tongkat ali menerusi kilang Amalan Pengilangan Baik
(GMP) di Pusat teknologi Herba (HTC) FRIM di Kepong.
Namun
katanya, apa yang membimbangkan ialah kecenderungan segelintir pihak yang suka
mencampurkan tongkat ali dengan bahan lain untuk menambah khasiat sesautu
formulasi herba tersebut
''Kita
tidak tahu apakah bahan-bahan yang dicampurkan ini bertindak balas sesama
sendiri dan menimbulkan risiko lain," katanya.
ARKIB : 17/07/2009
Oleh LAUPA JUNUS