Monday, 31 March 2014

Artikel Dr Ismail Tambi~ EJAKULASI TANPA ORGASMA

XGENE


MUNGKIN ramai berpendapat tiada rasa nikmat ketika ejakulasi ibarat makanan yang tiada garam. Kebiasaan ketika lelaki mengalami kemuncak rangsangan seksual, dia akan mencapai orgasma atau klimaks serta ejakulasi atau pancutan air mani.
Ini kerana lazimnya orgasma dan ejakulasi berlaku serentak atau bersama, iaitu seawal zaman remaja lagi.

Sebenarnya fenomena orgasma dan ejakulasi adalah dua perkara berasingan. Oleh itu ejakulasi tanpa orgasma atau sebaliknya memang wujud.
Perlu difahami, penghayatan orgasma berlaku seawal peringkat kanak-kanak lagi. Anggota kelamin kanak-kanak yang terangsang membolehkannya mencapai orgasma tetapi tidak membabitkan pancutan air mani.

Namun, apabila tiada rasa nikmat atau klimaks ketika ejakulasi, seseorang lelaki akan mula bimbang kerana menganggap ia tidak normal.

Malah, lelaki sukar menerima fenomena itu berlaku pada diri sendiri kerana mereka sukar memahami dan pada masa sama sukar menceritakan perkara itu kepada orang lain (akibat rasa malu).
Uniknya masyarakat kita, apabila sesuatu perkara yang tidak masuk akal berlaku seperti ejakulasi tanpa orgasma, biasanya akan menganggap ia buatan orang (terkena sihir atau ilmu hitam).

Mengikut statistik, kurang satu peratus fenomena ejakulasi tanpa orgasma. Ini bermakna ia memang wujud tetapi jarang berlaku.
Fenomena ini juga dikenali sebagai ‘Anaesthetic Ejaculation’ dan ‘Ejaculatory Anhedonia’ yang bermakna pancutan air mani tanpa apa-apa rasa yang biasa dialami ketika kemuncak seksual.

Ia masih lagi dalam kajian. Namun, jika dilihat kembali fenomena ini, kita faham, semua kawalan sistem fungsi tubuh badan dikawal oleh otak.

Mesej dari badan ke otak dan penghantaran maklum balas dari otak ke badan memerlukan sistem otak dan sistem fungsi urat saraf yang kukuh.

Apabila dua sistem ini terganggu, keadaan ejakulasi tanpa orgasma boleh berlaku.

Satu punca ialah amalan onani yang kerap. Ini kerana ia boleh menyebabkan orgasma dan ejakulasi hanya dihayati dengan cara melakukannya sendiri tetapi tidak ketika bersama isteri.

Apabila individu itu berusaha, dia boleh mencapai sedikit ejakulasi secara paksaan, tetapi tidak dapat merasa orgasma.

Ada juga kes di mana orgasma dan ejakulasi berkurangan apabila lelaki itu memasuki usia emas atau mengalami penyakit yang menggugat fungsi saraf seperti kencing manis dan tekanan urat saraf.

Selain itu, penurunan tahap hormon testosteron dan pengambilan ubat mengawal fungsi mental boleh menyebabkan fenomena ini berlaku, sekali gus menyebabkan hubungan seksual lelaki menjadi hambar.

Lelaki yang mengalami masalah ini perlu merujuk kepada doktor pakar untuk membantu anda.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan

Thursday, 27 March 2014

Artikel Dr Ismail Tambi ~ GRED SAIZ ZAKAR

XGENE



TIDAK dinafikan, segelintir lelaki atau suami menghadapi masalah mengekalkan ketegangan alat sulit ketika menjalin hubungan kelamin bersama pasangan mereka.
Ketegangan alat sulit individu ditentukan mengikut gred tertentu. Biasanya, lelaki dalam keadaan ghairah seksual akan mencapai ereksi zakar.
Zakar mengembang dan membesar akibat kemasukan banyak darah ke dalam liang otot pengembang zakar dan membuatkannya keras serta padat.

Pada masa sama, ruang kavernosa otot erektil dalam liang otot zakar memudahkan banyak darah masuk untuk membuatkan zakar tegang dan padat.

Ini dikenali sebagai tahap ketegangan Gred 4, yang mana penetrasi boleh dilakukan walaupun wanita itu belum bersedia.

Ereksi Gred 3 hanya mampu melakukan penetrasi jika wanita itu bersedia, iaitu jika faraj cukup pelembap dan pelicin dan wanita itu melegakan pembukaan faraj. Jika tidak berbuat begitu, zakar tidak dapat masuk dengan penuh dan hanya tersempal di pembukaan faraj.

Untuk Gred 2 dan 1, zakar nampak besar tapi jika dipegang, pejalnya seperti zakar yang kena suntikan minyak bunga yang pernah saya jelaskan beberapa minggu lalu — nampak besar tapi tidak berguna. Jadi, ereksi Gred 2 ke bawah menyebabkan individu terbabit sukar melakukan tusukan.

Ada situasi di mana ereksi menjadi kurang padat akibat keciciran darah yang bertakung dalam ruang kavernosa otot erektil. Situasi ini dikenali sebagai ‘venous leak’ dan cara mengatasinya ialah menggunakan alat ‘cincin penambat zakar’ yang sesuai.

Cincin ini mudah ditemui di pasaran dengan pelbagai nama. Perkara yang mustahak, jika mahu mencuba cincin berkenaan, pastikan ia selamat dan diperbuat daripada bahan yang tidak memberi kesan negatif kepada zakar atau anggota kelamin pasangan perempuan.

Cincin diperbuat daripada getah mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan alahan kepada kulit zakar dan faraj. Jika suami boleh mencapai ereksi tetapi gagal dalam keadaan mengekalkannya untuk tujuan tusukan, mungkin cincin itu dapat membantu.

Jika memang tak dapat ereksi mencukupi, dia perlu jumpa doktor untuk rawatan ED. Untuk permulaan, dia boleh jumpa doktor keluarga dan jika tiada perubahan, dia boleh jumpa pakar.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan

Soal Jawab Dr Ismail Tambi ~ PUNCA SENAK BAWAH PERUT

XGENE


Saya mengalami kesakitan di bahagian bawah perut hingga ke buah zakar. Bila ditekan pada urat di bahagian itu terasa sakit. Ada kala saya melakukan onani untuk mengurangkan rasa sakit. Ada kala berkurangan dan tidak. Biasanya sakit pada waktu malam. Mohon pencerahan doktor.
Lelaki sejati 
Batu Pahat

Kemungkinan besar perasaan senak yang anda alami ada kaitan dengan 'congestion' atau takungan darah yang banyak dalam buah zakar akibat tindak balas perasaan seksual yang sememangnya akan lega apabila anda melepaskan perasaan syahwat dengan onani. 
Anda menyatakan perasaan senak berulang walaupun sudah lega sebelum itu dan kemungkinan kali ini kemunculan perasaan senak berkenaan akibat fenomena ereksi malam atau 'nocturnal penile tumescence'. 
Anda boleh legakan kedua-dua buah zakar, pembuluh darah vena dan bahagian bawah perut anda menggunakan ais. Jika rasa senak itu akibat 'congestion' ia akan berkurangan atau lega. Jika tidak, mungkin anda ada masalah lain. Sila rujuk doktor untuk dapatkan pemeriksaan.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan
Artikel HARIAN METRO ini disiarkan pada : 2014/03/16

Wednesday, 26 March 2014

Artikel Dr Ismail Tambi ~ PADAH TABIAT LAMA GEMAR ONANI

XGENE


GOLONGAN lelaki sering menghadapi masalah lemah pancutan air mani. Malah, kebanyakannya turut mengalami masalah sukar mencapai kemuncak rangsangan seksual.
Bagi golongan Adam, ia menjadi masalah berat kerana tidak dapat berasa kepuasan seks ketika bersama isteri dan rata-ratanya juga tidak menemui jalan penyelesaian.

Ini semua mungkin berlaku kerana beberapa perkara seperti mengalami masalah kegagalan klimaks (retarded ejaculation atau anejaculation), klimaks tanpa ejakulasi (mental climax without ejaculation) atau ejakulasi yang berlaku dalam pundi kencing (retrograde ejaculation).
Sesetengah lelaki hanya boleh mencapai klimaks dengan cara onani kerana dengan cara itu dia dapat menghayati imaginasi seksnya. Begitupun, ketika bersama, perasaan berkenaan sukar diperoleh dan dalam masa sama, si isteri tidak dapat mengandung.

Secara ringkas, lelaki seperti ini hanya dapat mencapai ejakulasi dengan onani dan tidak dengan persetubuhan! Ini terjadi kerana mungkin lelaki berkenaan sering melakukan onani ketika zaman bujangnya dan ia antara risiko yang perlu dihadapi lelaki.

Kerana itu, onani tidak digalakkan kerana pengamalnya boleh terikat dengan ‘keseronokan’ tersendiri yang boleh mengganggu hubungan intim seksual dengan isterinya. Perkara sama juga boleh berlaku kepada wanita yang hanya dapat kepuasan atau kemuncak syahwat dengan menggunakan tangan atau alat lain tetapi tidak melalui hubungan seksual dengan suami! Jika pancutan dan ejakulasi tidak dilakukan di dalam faraj, sukar untuk mendapatkan cahaya mata. Bagaimanapun, jika air mani dapat disalurkan ke dalam faraj dengan cara menyemburkan air mani dalam faraj menggunakan picagari, kemungkinan besar isteri dapat mengandung. Begitupun, ia bukan mudah dilaksanakan, sebaliknya perlu dilakukan ketika isteri dalam subur dan sperma normal.
Jika dengan cara ini pasangan berkenaan masih gagal menimang cahaya mata, anda perlu menjalani pemeriksaan kesuburan.

Berbalik kepada keadaan lelaki yang tidak dapat melakukan ejakulasi, pastinya hubungan suami isteri menjadi hambar dan sia-sia.
Jika dibiarkan berlarutan, ia mungkin boleh menyebabkan tekanan perasaan dan berlakunya perceraian. Pasangan yang mengalami masalah seperti ini harus segera berjumpa doktor bagi mendapatkan pengetahuan dan cara tepat untuk menyelesaikannya.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan

Artikel Dr Ismail Tambi~ KENCING MANIS JEJAS KEUPAYAAN

XGENE


KENCING manis adalah penyakit digeruni, apatah lagi ia satu rantaian penyakit kronik iaitu sakit jantung dan darah tinggi. Bagi lelaki pula, mereka berdepan risiko masalah ereksi dan kemandulan jika mengalaminya.
Sesiapa saja berisiko menghidap sakit ini tanpa mengira peringkat umur. Jika ia berlaku ketika peringkat kanak-kanak, individu itu dikatakan penghidap penyakit kencing manis juvenil.

Mereka akan diberi suntikan hormon insulin sepanjang hayat kerana sel yang memproses insulin dalam organ pankreas tidak berfungsi lagi.
Namun bagi individu menghidap kencing manis selepas baligh (dewasa), ia berlaku akibat badan tidak dapat menggunakan insulin atau hormon insulin berkurangan serta tidak dapat menampung metabolisme karbohidrat.

Dengan tahap glukosa tinggi dan tidak stabil itu, keseluruhan fungsi sistem tubuh badan seperti perjalanan darah, fungsi dan tindak balas urat saraf tergendala.

Kedua-dua fungsi ini penting dan jika ia terganggu, fungsi tubuh badan turut terganggu seperti kegagalan lelaki mengekalkan atau mencapai ereksi ketika terangsang. Individu itu juga mungkin gagal mencapai atau mengawal ejakulasi dan cepat klimaks.
Sebilangan besar pesakit kencing manis yang mematuhi nasihat doktor dan makan ubat untuk mengawal tahap glukosa dapat mengekalkan kemampuan melakukan persetubuhan.

Oleh kerana penyakit kencing manis hanya boleh dikawal dan tiada penawarnya, lelaki yang tidak peka dengan nasihat dan rawatan doktor akan mengalami masalah kemampuan seksualnya.
Individu itu akan sukar mencapai ereksi mencukupi untuk melakukan persetubuhan atau ereksinya tidak kekal serta tidak sempat melakukan penembusan faraj atau mati separuh jalan.

Kesudahannya, individu itu mengalami mati pucuk tetap. Ada juga penghidap kencing manis tidak dapat mencapai ejakulasi walaupun dia rasa sudah mencapai orgasma.

Selain itu, ada individu boleh mencapai ejakulasi tapi terasa macam air maninya masuk ke pundi kencing (kencing selepas klimaks dan mendapati air kencingnya keruh atau mengandungi keladak putih).

Jangan mudah percaya cakap yang kononnya makan ubat kencing manis menyebabkan mati pucuk. Ia tidak benar. Semua pesakit kencing manis lambat-laun akan mengalami mati pucuk atau kegagalan ejakulasi.

Walaupun ada ubat boleh melancarkan aliran darah di zakar dan dilihat dapat mengatasi masalah itu, ia tetap bermasalah jika tidak mengawal penyakit itu.

Yang penting, ikut nasihat dan rawatan doktor. Jika anda mula mengalami masalah itu, segera berjumpa doktor pakar.

Jangan pula mendiamkan diri atau dapat ubat mengarut tanpa nasihat doktor, termasuk mendapatkan rawatan daripada tabib atau tukang urut. Nanti padah!

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan

Tuesday, 25 March 2014

Artikel Dr Ismail Tambi ~ PERBEZAAN AIR MANI DAN AIR MAZI

XGENE


SAYA banyak menerima soalan mengenai kekeliruan dan perbezaan mengenai air mani dan air mazi serta ramai yang bertanyakan sama ada terdapat sperma pada air mazi.
Biar saya jelaskan di sini supaya tidak timbul lagi kekeliruan hingga boleh mengganggu hubungan seks seseorang itu hanya kerana terkeliru atau kurang mendapat maklumat mengenainya. 
Air mazi sebenarnya adalah cecair yang meleleh keluar dari salur kencing ketika lelaki dalam keadaan teruja seks. Ketika itu pundi dalam salur kencing dan pundi cowpers terangsang dan mengeluarkan cecair jernih yang berlikat.

Cecair ini mengurangkan asid pada ruang salur kencing, membersihkan bekas kencing dalam salur kencing dan membantu perjalanan air mani apabila ejakulasi berlaku. Air mazi mengandungi cecair seakan air mani kecuali ia tidak mengandungi sperma (jika ada sperma sekalipun, hanya bekas daripada ejakulasi terdahulu!) dan tidak mengandungi cecair dari pundi prostat dan cecair dari pundi seminal serta pundi epididimis.
Pengeluaran air mazi berubah dari masa ke semasa mengikut umur lelaki itu. Pengeluarannya lebih waktu muda dan kurang waktu lanjut usia. Terdapat sebilangan lelaki yang menghasilkan banyak air mazi sehingga pakaian dalam basah.

Keadaan seperti itu boleh dikatakan mengalami ‘resdung zakar’ dan ini boleh mengganggu hubungan keintiman seksual dengan pasangan jika pengeluaran cecair itu membuatkan pasangan rasa kurang selesa!

Air mazi mengandungi sperma jika lelaki itu baru mengeluarkan air mani (melalui onani atau bersetubuh). Jika lama tidak bersetubuh, kemungkinan besar tiada sperma.

Bagaimanapun, ia mengandungi kuman dan virus jika pernah dijangkiti HIV atau kuman Gonorrhea (atau virus Chalymidia), jadi jika seseorang itu melakukan seks rambang dengan mana-mana lelaki berisiko tinggi kepada semua wanita walaupun lelaki itu tidak ereksi ke dalam vagina!

Air mazi najis dan membatalkan air sembahyang. Pakaian perlu ditukar dan anggota kelamin perlu dibersihkan untuk kesucian badan sebelum melakukan solat.

Air mani pula ialah cairan dalam bentuk ejakulasi atau lelehan daripada kemuncak syahwat selepas mengalami klimaks dan ia mengandungi cecair dari pundi prostat, seminal, cowpers, epididimis dan sperma (jika lelaki itu tidak mandul!) Air mani bukan najis dan pakaian yang terkena padanya (selepas kering) boleh digunakan untuk melakukan solat.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan

Monday, 24 March 2014

Soal Jawab Dr Ismail Tambi ~ ISTERI SURUH BERURUT UNTUK LEBIH PRESTASI

XGENE

Saya baru setahun berkahwin dan sangat berharap menimang cahaya mata. Namun, saya risau jika mengalami masalah mati pucuk atau kesihatan lain.
Ini kerana alat kelamin saya sangat kecil dan mudah mengecut. Setiap kali bersama isteri, saya kerap mengalami ejakulasi pramatang dan ia berlaku sangat cepat. 
Disebabkan itu, isteri kerap menyuruh saya berurut. Oleh kerana ada masalah kulit di sekitar kemaluan dan paha, saya malu dan tidak mengikut saranannya. 

Harap doktor dapat membantu saya menangani masalah ini dan apa patut saya lakukan menurut prosedur kesihatan.

JUMALI 
Kuantan, Pahang


Hubungan intim berlaku dalam beberapa kategori berbeza. Jika dapat melakukan seks penetratif, itu bermakna anda tidak mengalami masalah mati pucuk.

Jika tidak dapat bertahan lama hingga menjadi punca pasangan tidak puas, saya sarankan anda mendapatkan rawatan. Namun, saya tidak syorkan rawatan dengan dukun, tukang urut mahupun doktor tidak bertauliah.

Ini kerana memang wujud pelbagai kategori ‘pak karut’ yang mengaku pandai dalam masalah rawatan lelaki. Jangan terpedaya dengan mereka.

Ini kerana bagi masalah zakar kecil dan kecut, cepat klimaks serta penyakit kulit, dikhuatiri golongan ‘pak karut’ ini membuat rawatan suntikan bagi membesarkan ‘senjata’ anda.

Suntikan ini akan menyebabkan bentan, seterusnya merosakkan otot zakar.

Untuk makluman, tiada pil atau minyak urut boleh membesarkan zakar. Suntikan dengan minyak bunga pula boleh merosakkannya.

Mungkin anda tak perlu buat apa-apa terhadap alat kelamin anda kerana masalah diutarakan isteri anda ialah cepat klimaks. Kini ada pelbagai rawatan yang dapat bantu meningkatkan masa persetubuhan.

Sebenarnya jika anda dapat bertahan lebih seminit dalam faraj, itu dikira normal. Jika kurang, itu dikatakan cepat klimaks. Cepat klimaks tidak menyebabkan masalah kesuburan.

Jika sperma atau benih anda kurang atau tiada atau lemah atau tidak berbentuk normal, itu yang menjadi punca masalah kesuburan.

Untuk mengetahui profil benih yang normal, anda perlu jalani ujian air mani. Anda bertanggungjawab terhadap kebahagiaan rumah tangga.

Cadangan mendapatkan urutan tidak tepat. Cara terbaik ialah merujuk kepada pakar. Buangkan rasa malu dan fikirkan mengenai kebahagiaan hidup berkeluarga serta hasrat mempunyai waris. Pasti anda akan buang sifat malu itu.

Jika masalah itu tidak dapat diselesaikan, doktor pasti akan merujuk kes anda kepada pakar yang lebih layak.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan
Artikel HARIAN METRO ini disiarkan pada : 2014/03/23

Sunday, 23 March 2014

Artikel Dr Ismail Tambi ~ ZAKAR 'PATAH' BOLEH JADI KEKAL

XGENE


‘Fracture’ atau ‘patah’ boleh berlaku pada alat kelamin lelaki hingga ada yang gagal mendapat ereksi penuh akibat kecederaan berkenaan.
Ada juga lelaki berdepan situasi bahagian kepala kemaluannya menjadi lembik berbanding pangkal akibat kecederaan itu. 
Ia berlaku kerana kecederaan di bahagian tisu lembut zakar dan ia tidak boleh dibiarkan kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini berkaitan kesihatan lelaki.

Istilah ‘fracture’ memang tepat jika zakar yang patah itu benar-benar keras seperti kayu, lebih-lebih lagi jika kepatahan itu lebih ke bahagian pangkal.

Jika berlaku berhampiran penghujung zakar selain ketika itu ia tidak begitu keras, kecederaannya tidak ketara. Apabila bengkak, cara melegakan keradangan ialah menuam dengan ais (seperti pek ais).

Seandainya bengkak itu ketara, lebih baik berjumpa doktor dan pesakit akan diperiksa bagi memastikan sama ada salur darah tercedera atau wujud darah beku di dalam otot zakar.

Jika rasa sakit berkurangan tetapi hujung zakar masih kelihatan kecut, itu menandakan otot hujungnya tidak kembang dan mungkin keadaan berubah apabila radang di bahagian itu reda.

Jangan biarkan masalah dialami tanpa rawatan atau ubat-ubatan kerana kemungkinan tanpa rawatan sebetulnya, zakar seseorang itu akan kekal bengkok apabila ereksi.

Keadaan berkenaan dikenali sebagai ‘Peyronie Disease’. Saya syorkan mereka yang mengalami masalah ini segera berjumpa pakar bedah atau urologis untuk menjalani pemeriksaan.

Jika perlu, doktor akan melakukan ujian ultrasound untuk mengesan jika salur darah turut tercedera. Hasil pemeriksaan itu, baru boleh diketahui jenis rawatan susulan diperlukan.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan
Artikel HARIAN METRO ini disiarkan pada : 2014/03/23

Saturday, 22 March 2014

Soal Jawab Dr Ismail Tambi~ UBAT DARAH TINGGI BOLEH JEJAS TENAGA BATIN

XGENE


Saya ada masalah lemah tenaga batin. Saya berumur 58 tahun dan ada darah tinggi. Kebiasaannya tekanan darah pada kadar 135/75. Doktor syorkan saya makan ubat darah tinggi dan gelosteron. Adakah ubat ini punca masalah saya?
ZALI 
Kota Tinggi, Johor
Kegagalan mencapai ereksi keras untuk persetubuhan dikenali sebagai disfungsi erektil atau lemah tenaga batin dan mati pucuk. 
Anda mengalami masalah itu sejak menghidap tekanan darah tinggi dan mengambil ubat untuk mengawalnya. Sebilangan besar ubat tekanan darah tinggi memberi kesan sampingan terhadap disfungsi erektil. 
Jika anda tidak makan ubat, masalah lemah tenaga batin masih boleh berlaku kerana kemasukan darah dalam otot zakar anda masih kurang disebabkan kesempitan dan ketebalan salur darah dalam otot zakar.

Jika tidak makan ubat, tekanan darah melambung dan mencetuskan strok jika salur darah tercedera, pembekuan darah atau salur darah tersumbat. Jadi anda tidak boleh elak mengambil ubat tekanan darah tinggi.

Kini doktor peka dengan ubatan yang mengganggu perjalanan darah dalam otot zakar. Jadi mereka akan beri ubat kurang memberi kesan terhadap lemah ereksi.

Kini ada pelbagai ubat yang dapat melancarkan darah dalam otot zakar. Namun, ubat ini perlu dikendalikan doktor dan diberi apabila selesai melakukan pemeriksaan.

Amalkan gaya hidup sihat, senaman berkala untuk stamina dan fizikal, melakukan senaman kemut atau Kegel, mengukuhkan otot benteng zakar selain mendapat ubat pelancar darah.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan
Artikel HARIAN METRO ini disiarkan pada : 2014/03/23

Soal Jawab Dr Ismail Tambi ~ TAK PUAS KENCING GANGGU KEINTIMAN SUAMI ISTERI

XGENE


Saya mengalami masalah terasa selalu ingin membuang air kecil. Apabila selesai, saya rasa mahu membuang lagi seakan-akan air belum habis. Apabila habis membuang air, perasaan ingin membuang air datang lagi.
Malah, setiap kali zakar saya tegang, perasaan ingin membuang air kecil datang. Ia menyebabkan saya runsing dan menjejaskan hubungan intim dengan isteri. 

AMIR 
Singapura

Perasaan ingin membuang air kecil biasa berlaku apabila pundi kencing penuh dengan air dan memberi isyarat kepada otak. Oleh itu, secara sedar individu itu akan membuang air kecil.

Jika seseorang memilih tidak membuang air, pundi kencing masih mempunyai ruang sebelum perasaan untuk membuang air berlaku sekali lagi.

Tekanan akan berlaku jika perasaan itu tidak dihiraukan, menyebabkan air keluar tanpa kawalan. Ia menyebabkan sakit di bahagian bawah perut dan sering menjadi punca seseorang berlari ke tandas.

Dalam keadaan tertentu, perasaan ingin membuang air berulang dan menyebabkan individu akan berulang semula ke tandas.

Sudah tentu lelaki akan rasai kesukaran memberi tumpuan kepada hubungan intim kerana perasaan ghairah untuk bersetubuh juga akan mencetuskan perasaan membuang air kecil. Kemungkinan ini yang berlaku kepada anda.

Anda perlu rujuk kepada doktor untuk menjalani pemeriksaan. Jika berada dalam golongan lelaki berumur, kemungkinan anda mengalami bengkak dan keradangan pundi prostat.

Jika masih muda, mungkin anda mengalami keradangan pundi prostat dan pundi kencing. Kebanyakan punca keradangan akibat jangkitan kuman.

Jika jangkitan menular ke sistem genitourinari iaitu pundi kencing, ia menyebabkan radang pada salur ureter dan buah pinggang dan boleh membuatkannya rosak.

Jangan cuba merawat masalah dengan mencuba ubat atau nasihat orang tidak bertauliah. Jika kebetulan pundi kencing jenis mencengkam tanpa kawalan, doktor boleh beri ubat melegakan cengkaman.
Artikel HARIAN METRO ini disiarkan pada : 2014/03/23

Thursday, 20 March 2014

Soal Jawab Dr Ismail Tambi ~ KURANG ILMU PUNCA GAGAL DI MALAM PERTAMA

XGENE 

Saya mendirikan rumah tangga tujuh bulan lalu. Saya berusia 29 tahun dan suami 32 tahun. Sehingga kini kami tidak pernah melakukan hubungan kelamin.
Pernah beberapa kali kami cuba tetapi alat sulit suami tidak menegang ketika hendak memasuki faraj. 
Saya pelik kerana dalam keadaan biasa, alat sulit suami mampu menegang (walaupun tidak tahan lama), tetapi apabila hendak memasukkan ke dalam faraj, ia terus kendur. Saya risau suami mengalami masalah mati pucuk. 
LAILA 
Shah Alam

Istilah mati pucuk malam pertama digunakan apabila lelaki tidak dapat mencapai ereksi atau mengekalkannya dalam keadaan padat untuk melakukan seks penetratif.

Istilah mati putik malam pertama menggambarkan kegagalan isteri membuka jalan atau melegakan pembukaan faraj atau bekerjasama dengan suami menghalakan ereksi padat ke dalam faraj dan melegakan ruang itu supaya suami dapat melakukan penusukan.

Saya membicarakan perkara itu dalam buku kecil bertajuk Adab Malam Pengantin keluaran Telaga Biru. Pada pendapat saya, pasangan mempelai yang mahu mendirikan rumah tangga wajib terdedah kepada aspek fizikal hubungan intim suami isteri, cara serta gaya menjayakan seks penetratif.

Jika tiada pendedahan mengenai aspek ini, suami isteri akan kurang yakin untuk melakukannya dan tidak dapat memberi kerjasama untuk menjayakannya.

Mungkin dalam tidak sedar, anda tidak memberi kerjasama kepada suami seperti menghalakan ereksi ke pembukaan faraj, menolakkan hujung zakar ke dalam faraj sambil melegakan pembukaan dan mengembangkan ruangnya. Suami pula perlu menolakkan ereksinya ke dalam faraj dengan mengemut sambil menolak masuk.

Semua aktiviti ini boleh dilakukan serentak dan cepat. Bagi lelaki, jika gagal melakukan tusukan kali pertama, mereka rasa kurang yakin untuk mengulangi lagi kerana takut gagal.

Bagaimanapun, mereka boleh mencapai ereksi pagi dan mudah teruja seksual ketika berfantasi seksual atau terdedah dengan bahan erotika.

Saya cadangkan anda dan pasangan berjumpa doktor untuk mendapat bimbingan mengenai hubungan seksual. Ada kala suami memerlukan rawatan dengan ubat pelancar darah untuk melancarkan darah dalam otot zakar supaya dapat mencapai ereksi lebih mantap dan kekal ketika teruja seksual bersama anda.

Saya boleh dihubungi melalui e-mel dr_tambi@yahoo.com.
Artikel HARIAN METRO ini disiarkan pada : 2014/03/02

Soal Jawab Dr Ismail Tambi~ USAH TERPENGARUH PIL AJAIB TAMBAH SAIZ ZAKAR

XGENE

Assalamualaikum doktor. Saya berusia 30 tahun, tinggi 180 sentimeter dengan berat 85 kilogram. Saya mempunyai masalah zakar kecil berbanding lelaki seusia. Waktu mengendur zakar akan tenggelam dan ketika tegang cuma berukuran enam sentimeter.
Saya mohon nasihat doktor cara sihat dan amalan bagaimana perlu dilakukan untuk mendapatkan saiz zakar lebih panjang dan mempunyai ukur lilit yang boleh dibanggakan. Saya ada terbaca dalam laman sosial mengenai pil dan amalan mengurut menggunakan minyak lintah tetapi sejauh manakah keberkesanan mengamalkan pil ini dan urutan pada zakar? 
Jejaka suram 
Parit Buntar

Semua lelaki beranggapan saiz dan ukuran anggota kelamin mereka diukur mengikut ketinggian dan besar tubuh badan. Jadi untuk lelaki yang sebesar anda, sudah tentu saiz anggota kelamin ketika ereksi besar daripada biasa. Jika purata saiz dan ukuran zakar lelaki 13 sentimeter, pasti ia lebih untuk lelaki sebesar anda. Malangnya tanggapan ini tidak tepat.

Mungkin ada kaitan dengan baka atau anggota kelamin anda tidak sensitif kepada hormon testosteron, maka tiada tindak balas dan tiada tumbesaran yang berlaku. Anda usah mudah terpengaruh kepada pil ajaib atau krim ajaib atau produk yang konon dapat membantu menambah saiz zakar.

Saya pernah mengendalikan sebilangan lelaki seperti anda yang mempunyai anggota kelamin yang berukuran kurang menyenangkan. Jika lelaki itu gemuk serta mempunyai banyak lemak di paras tundun, maka saya akan syorkan lelaki itu menguruskan badan terlebih dulu.

Saya pasti anda bercita-cita menambah saiz anggota kelamin. Tapi anda perlu dapat bimbingan dan bantuan yang tepat.

Berwaspada dan dapatkan bantuan doktor. Saya boleh dihubungi di: dr_tambi@yahoo.com.
Artikel HARIAN METRO ini disiarkan pada : 2014/03/16


Soal Jawab Dr Ismail Tambi~ ZAKAR BENGKOK GANGGU FIKIRAN


XGENE



Saya lelaki berusia 25 tahun. Anggota sulit saya bersaiz normal, tetapi bagi saya ia besar.

Soalan saya ialah, apabila menegang, ia tidak ke atas, sebaliknya membengkok ke bawah. Adakah kemaluan saya tidak normal dan mampu mengganggu prestasi ketika melakukan hubungan intim?

Insan Binggung
Tanah Rata, Pahang



JAWAPAN
Apabila lelaki mencapai ereksi, keseluruhan zakarnya membesar dan penghujungnya mengembang, terutama jika melakukan kemut atau mencengkam otot lubang najis dan lubang kencing.

Ketika itu ereksinya mendongak ke atas sedikit, kecuali lelaki yang mempunyai zakar yang panjang dan besar, akan kelihatan melengkung ke bawah. Ia adalah normal.

Ketika ereksi berlaku, baru lelaki itu tahu jika ereksinya lurus, bengkok, kecil atau besar. Barangkali anda melihat anggota sulit dari atas, oleh itu ia kelihatan biasa atau sederhana walaupun ia besar.

Memandangkan ereksi hanya berlaku apabila darah banyak masuk ke dalam otot zakar dan kekal di dalamnya, selagi darah kekal dan perasaan ghairah itu berterusan, ereksi akan berkekalan.

Jika tidak, ia akan mengendur dan kadangkala berlaku dengan cepat. Justeru, kedudukan ereksi lelaki tidak sama setiap hari atau setiap masa.

Kadangkala ereksi mantap kerana tahap keghairahan sangat tinggi dan kurang mantap apabila rangsangan kurang dan tahap keghairahan biasa.

Anda tidak perlu risau. Apabila sampai masanya nanti, ereksi anda akan berfungsi mengikut keadaan.

Kemaluan anda mungkin membengkok akibat penghujung zakar yang besar dan berat.


Artikel HARIAN METRO ini disiarkan pada :2008

Soal Jawab Dr Ismail Tambi~ ZAKAR KEMBANG TAK SEKATA

XGENE


Zakar saya membengkok ke kiri disebabkan pembuluh darah/otot bahagian kiri tidak mengembang ketika ereksi.
Saya hairan kerana pembuluh darah/otot zakar bahagian kanan kelihatan mengembang dengan sempurna sedangkan di bahagian kiri tidak. Keadaan ini berlaku selepas berkhatan 13 tahun lalu. 
Tahun demi tahun, semakin ketara pembuluh darah/otot zakar bahagian kiri seakan-akan mati dan tidak dapat mengalirkan darah ke bahagian itu.

Adakah ini antara gejala mati pucuk? Apakah tindakan yang harus saya ambil untuk kembali normal?

PENCARI JAWAPAN 
Raub, Pahang



Istilah mati pucuk menggambarkan zakar yang tidak mengembang dan mengeras atau tidak kekal keras untuk tujuan tusukan atau penetrasi ke dalam faraj.

Apa yang anda alami bukan mati pucuk. Ia lebih kepada masalah bentuk zakar yang tidak sempurna. Selagi tidak menjalani pemeriksaan doktor, selagi itu anda akan rasa janggal dan keliru mengenai keadaan anggota kelamin, sama ada ‘mati pucuk’ atau masalah bengkok, yang mana kedua-duanya membuatkan anda sukar melakukan tusukan ke dalam faraj setelah berkahwin.

Kebengkokan boleh berlaku apabila sebahagian zakar tidak dapat mengeras atau tertarik akibat parutan (mungkin akibat kecederaan atau kesan khatan).

Keadaan ini dikenali sebagai penyakit Peyronie (Peyronie Disease) dan jika benar, memang ada cara merawatnya. Jangan biarkan keadaan itu tanpa pemulihan, sebaliknya segera berjumpa doktor pakar.
Artikel HARIAN METRO ini disiarkan pada : 2014/02/09

Soal Jawab Dr Ismail Tambi ~ AWASI KANDUNGAN MINYAK URUT ZAKAR

XGENE


Saya remaja berumur 23 tahun dan ingin tahu mengenai ketulenan minyak mengurut alat kelamin lelaki. Adakah ia mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan? Jika saya menggunakan minyak ini, apa kesan sampingannya?
KHAIRUL 
Klang, Selangor


Kini dalam pasaran banyak produk penjagaan kesihatan lelaki secara tradisional. Ia dalam bentuk pil, kapsul, minyak, jeli dan krim serta pelbagai rempah-ratus yang dirumuskan pengusaha tempatan atau negara jiran.

Sebilangan besar bahan digunakan tiada kelulusan atau menggunakan nombor pendaftaran tiruan atau pinjaman. Pendaftaran dengan Kementerian Kesihatan tidak bermakna produk itu diluluskan atau diiktiraf. Pendaftaran itu diberi apabila produk dihasilkan itu dari kilang yang berdaftar sebagai kilang GMP (Good Manufacturing Practice).

Ia tidak perlukan sains atau kajian kerana produk itu produk amalan nenek moyang. Jadi produk berkenaan hanya produk am mengikut amalan orang lama. Setakat ini tiada minyak, jeli atau krim yang boleh besarkan zakar atau kuatkan genital lelaki atau untuk tahan lama.

Jika anda bernasib baik, tiada apa akan berlaku. Jika nasib tak baik, bahan dalam ramuan itu boleh mengakibatkan kulit anggota kelamin radang atau melecur akibat alahan.

Amalan mengurut zakar, menjalani pemeriksaan dengan tukang urut untuk ‘betulkan’ anggota kelamin lelaki sebagai persediaan sebelum berumah tangga adalah mengarut dan mungkin membahayakan.
Artikel HARIAN METRO ini disiarkan pada : 2014/02/09

Soal Jawab Dr Ismail Tambi ~ KELEMBAPAN DAPT ELAK KEGATALAN

XGENE


Saya remaja berumur 20 tahun. Sejak akhir-akhir ini saya menghadapi masalah di sekitar alat sulit. Masalah ini berlanjutan seminggu.

Bahagian sekitar alat sulit saya mengalami gatal-gatal. Apabila diperiksa, tiada bintik mahupun gigitan serangga. Apabila digaru ia bertukar warna putih. Saya menyapu bedak di bahagian itu supaya kering dan tidak gatal. 

INSAN RESAH 

Alor Gajah



Kawasan anggota kelamin mempunyai kulit lembut dan penuh dengan bulu roma, pundi pelembap apokrin dan pundi peluh.

Bulu roma berfungsi mengekalkan kelembutan kulit dan peranan sama untuk pundi pelembap serta pundi peluh yang menghasilkan pelembap dan peluh. 

Jika bulu roma dicukur di kawasan itu, kekeringan akan berlaku. Jika kulit kering, bahagian itu menjadi gatal dan jika digaru, kulit menjadi kasar. 

Akar bulu roma dan salur pelembap pundi apokrin akan radang dan timbul sebagai bintik-bintik putih bergelar ‘folliculitis’ dan ‘adenitis’. Jika keradangan menjadi ketara, kulit bahagian itu akan menebal dan boleh mengalami infeksi. 

Ada pelbagai punca lain yang menyebabkan kulit anggota kelamin kering dan gatal seperti alahan kepada sabun, jangkitan kutu atau kudis buta. Anda perlu jumpa doktor keluarga dan jika masalah itu tidak dapat diselesaikan, rujuk pakar kulit.



Artikel HARIAN METRO ini disiarkan pada : 2014/03/02

Wednesday, 19 March 2014

XGENE



formulasi TONGKAT ALI membantu menguat dan memantapkan alat kelamin lelaki.
XGENE