Friday, 25 April 2014

Artikel Dr Ismail Tambi ~ SAKIT SELEPAS 'MIMPI BASAH'

XGENE


SEBELUM ini, saya banyak menjawab kemusykilan mengenai kesakitan pada salur kencing iaitu ketika kencing dan ejakulasi. Ada masalah seperti air mani lelaki berwarna coklat, berdarah, kekuningan seperti nanah dan berbau akibat kecederaan atau jangkitan pada salur berkenaan.
Namun, pernahkah anda mengalami kesakitan dan kepedihan pada kemaluan ketika ereksi? Masalah itu bukan merujuk pada kesakitan salur kemaluan seperti saya terangkan pada awal perenggan, ia hanya menyebabkan kesakitan pada kemaluan yang biasa dialami dan tidak membabitkan kecederaan anggota itu.

Pengenalan lelaki mengenai anggota kelaminnya bermula daripada peringkat bayi lagi. Kemudian ia mengalami perubahan ketara apabila seseorang memasuki peringkat remaja.
Perlu diketahui kulit yang menyarung kemaluan adalah licin, lembut serta mempunyai lapisan bawah yang boleh mengembang apabila disentuh.

Tindak balas sensitif ini menyebabkan seseorang itu mudah mencapai ereksi pada bila-bila masa, terutama selepas bangun tidur dan mengalami mimpi basah. Namun, ereksi itu kadangkala menyakitkan.

Bagi yang mengalami situasi ini, jangan risau. Rasa sakit dan pedih pada atau penghujung kemaluan adalah normal ketika ereksi. Ia mungkin disebabkan tisu lembut kemaluan terhimpit ketika tidur (tidur dalam keadaan tiarap) dan ketika sedar, baru terasa sakit.
Selain itu, kepedihan pada penghujung kemaluan boleh disebabkan bahagian salur kencing tergesel akibat pancutan air mani yang pekat, keluar secara deras ketika mimpi basah mahupun ereksi.

Masalah kesakitan ini reda perlahan-lahan sehingga menjadi biasa semula.
Satu lagi kesakitan yang boleh dialami ialah sakit di testis ketika mencangkung atau membuang air kecil. Memang ketika mencangkung, kedudukan buah kemaluan bergayut dan ada kalanya buah kemaluan tertarik akibat cengkaman otot (otot kremester) yang menampung buah kemaluan.

Cengkaman otot kremester boleh menyakitkan, dan ia boleh dilegakan dengan membelainya. Begitupun, pesanan saya, jangan picit dengan kuat.

Namun, jika masih was-was dan mendapati masalah kesakitan yang saya kongsi kali ini menjadi semakin ketara, segera jalani pemeriksaan doktor dan bukan mendapat rawatan bomoh atau lebih mudah, urutan batin.

Perlu ingat, buah dan zakar tidak boleh diurut!

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan

Artikel Dr Ismail Tambi ~ MUAFAKAT SUAMI ISTERI BARU 'PUAS'

XGENE

SEJAK kebelakangan ini saya banyak menerima e-mel mengenai ketidakpuasan suami terhadap layanan isteri di ranjang, begitu juga sebaliknya. Antara masalah dihadapi ialah pasangan tidak suka melakukan pelbagai aksi mengikut kehendak individu, tiadanya sentuhan sebelum bersama dan sebagainya.
Ada juga yang merasakan tidak mendapat kenikmatan mengadakan seks disebabkan pasangan cepat ejakulasi, kurang berminat mengadakan seks dan tidak puas kerana pasangan tidak mahu mengadakan seks oral. Masalah ini dialami pasangan berkahwin tanpa mengira tempoh perkahwinan.

Misalnya, ada pasangan belum merasakan kepuasan seks walaupun berkahwin sembilan tahun dan mempunyai dua anak. Berdasarkan masalah di atas, hampir semuanya berkaitan kerjasama pasangan berumah tangga.
Memang hubungan seks itu memerlukan kerjasama suami isteri, jika tidak sudah tentu hubungan itu tidak dapat dilakukan.

Namun, pernahkah kita bertanya diri sendiri, bagaimana pula dengan pasangan kita? Adakah dia juga puas ketika bersama kita? Kita perlu memahami bahawa si dia juga ada kehendaknya. Misalnya dalam masalah cepat ejakulasi, pasangan tidak sempat menghayati keseronokan sentuhan seksual, tetapi anda sudah selesai.

Dalam hal ini permuafakatan dalam hubungan intim suami isteri adalah perlu. Begitu juga dengan rasa hormat-menghormati antara satu sama lain.
Dalam perilaku hubungan seksual, setiap pasangan perlu berpegang pada hubungan intim yang berpandukan kepada ajaran dan hukum Islam. Hubungan seksual antara suami isteri dikira ibadat. Melayani nafsu pasangan ketika pasangan berkehendakkan (berintiman) pula satu sedekah.

Oleh itu, kita boleh membayangkan kebaikan dan ganjaran akhirat yang akan diterima jika hubungan seksual mendatangkan keseronokan bersama.
Kini, kita boleh mendapatkan banyak buku di pasaran berkaitan panduan berjimak. Jika kita dan pasangan tidak faham gaya hidup hubungan seksual, boleh rujuk kepada pakar kaunseling dan pembimbing untuk mendapatkan bimbingan serta tunjuk ajar. Berdiam diri bukan jalan penyelesaian terbaik.

Merujuk kepada kes yang saya berikan (sembilan tahun berkahwin tetapi belum dapat merasai nikmat), bagaimana hendak meneruskan perkahwinan jika hubungan intim hambar? Begitu juga dengan pasangan. Jangan pula ikatan perkahwinan itu terjalin hanya disebabkan kehadiran anak.

Tanpa persefahaman dalam hubungan intim, saya kurang yakin perkahwinan itu bertahan lama. Cuba bermuafakat dengan pasangan untuk berjumpa pembimbing seks atau pakar berkaitan dan bersama-sama berusaha berhubungan melebihi sempadan seksual suami isteri.

Penting bagi suami isteri bekerjasama untuk membina keluarga bahagia. Apabila pasangan itu ikhlas dalam menjalin hubungan, insya-Allah semuanya berjalan lancar.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan

Tuesday, 22 April 2014

Artikel Dr Ismail Tambi ~ DILEMA PENGANTIN BARU

XGENE


CEPAT klimaks menjadi dilema kebanyakan lelaki yang baru mulakan hubungan keintiman seksual. Mereka boleh mencapai ereksi dan mudah melakukan seks penetratif, tetapi kurang daya kawalan rangsangan dan selalu klimaks apabila perasaan ghairah tercetus, tidak dapat mengawal atau meredakan perasaan hendak klimaks.

Sebilangan lelaki dapat mengawal ejakulasi selepas dapat mengenali rentak gerakan dan keghairahan. Ada juga yang dapat mengekalkan ereksi walaupun selepas mencapai ejakulasi.

Mereka yang gagal mengatasi masalah cepat klimaks akan terus dihantui dilema itu dan cuba sedaya upaya menanganinya dengan apa cara, termasuk yang berisiko tinggi dan boleh memudaratkan kesihatan mereka serta pasangan.

Teknik bersetubuh yang dapat melambatkan ejakulasi ialah apabila lelaki memasukkan ereksi sampai habis serta melakukan tarikan dan tolakan pendek iaitu kemasukan ereksi secara tusukan.

Cara tusukan memberi tekanan kepada penghujung ereksi dan ini mempercepatkan klimaks. Cara tarik dan sorong pendek memberi tekanan kepada pangkal zakar yang tidak sensitif seterusnya dapat mengawal ejakulasi cepat.

Ketika melakukan gerakan pendek dalam dan luar, ia perlu dilakukan dengan anggota sulit dalam keadaan otot lubang kencing dan lubang najis mengemut.

Maksudnya, melakukan gerakan ereksi dalam keadaan kemut, yang mana ini dapat memberi kekuatan kepada ereksi.

Cara lain yang dapat membantu memastikan ejakulasi terkawal adalah menggesel bahagian ereksi yang kurang sensitif, iaitu bahagian pangkal zakar ke langit faraj (langit faraj wanita membabitkan G-Spot yang boleh mencetuskan klimaks jika bahagian itu terangsang).

Kawal gerakan supaya tidak keluar daripada kawalan klimaks dan jika hendakkan klimaks, percepatkan hayunan sambil klimaks dan teruskan hayunan dengan kemutan. Hasilnya kedua-dua merasai nikmat hubungan seksual secara maksimum!

Kaedah itu dikenali sebagai ‘coital alignment’ atau hubungan bersepadu! Bukan senang mengamalkannya kerana kadangkala gagal juga! Bagaimanapun, lama-kelamaan anda menjadi biasa dan lebih cekap.

Jika mahu menggunakan ubat tambahan, saya syorkan anda rujuk doktor keluarga untuk mendapat pandangan dan nasihat atau membeli ubat untuk kesihatan di farmasi daripada ahli farmasi.

Jangan percaya pengedar jualan langsung yang menjual ubat kuat, selain memastikan ubat itu mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KK).

Anda juga perlu berhati-hati dengan ubat kuat yang mendapat kelulusan KK tetapi mengandungi ubat larangan. Sebilangan besar syarikat penjualan ubat kuat memasukkan ubat larangan selepas mendapat pendaftaran KK.

Jika anda terasa luar biasa selepas mencuba ubat kuat atau mendapat ereksi tanpa dirangsang, berkemungkinan ada ubat larangan dalam ramuan herba itu.



Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan

Dipetik dari:

http://www.hmetro.com.my

Artikel Dr Ismail Tambi ~ SUKAR MEMBUAT TUSUKAN

XGENE



SOAL seksual sememangnya tidak dapat lari daripada sering dikaitkan dengan dunia mistik. Sebagai contoh, kita sering mendengar kisah si suami mendakwa tidak bernafsu ketika mahu melakukan hubungan intim dan lebih ‘menakutkan’, tidak dapat ‘menembusi’ faraj isteri.

Apabila bertemu bomoh atau dukun, pelbagai andaian diberi, seperti nafsu suami atau isteri terkunci gara-gara penangan sihir.


Lantas, tanpa usul periksa semua arahan bomoh atau dukun diikuti sehingga ‘terbang’ wang beribu-ribu ringgit, tetapi masalah dihadapi tidak selesai.

Itulah risikonya jika tidak mahu bertanya, mengkaji atau meminta pendapat pakar yang lebih arif dalam hal sedemikian.

Dalam perubatan moden, apa yang berlaku ialah ketika pasangan hendak bersama, isteri mungkin dalam keadaan takut, maka hilang daya kawalan fizikalnya sehingga ‘menutup’ atau mengemut lubang najis dan lubang kencing, yang mana secara tidak langsung menutup pembukaan farajnya.

Ini menyukarkan suami melakukan seks penetratif. Jika suami berusaha berulang kali tetapi gagal, perasaan ghairah menurun dan dia secara langsung hilang nafsu syahwat.

Saya mengendalikan banyak kes sebegini. Kebanyakannya bertemu bomoh atau dukun terlebih dulu sehingga kesudahannya bergaduh dan menyalahkan satu sama lain.

Saya dapati suami isteri kurang arif mengenai cara, gaya dan teknik bersetubuh. Ada juga suami berasa takut ketika hendak bersetubuh dan dalam keadaan begitu, ereksi hilang, seolah-olah nafsu syahwatnya terkunci jika mengikut taksiran bomoh atau dukun. Ini mengarut!

Apa yang berlaku ialah ketika takut atau gementar, pengeluaran hormon adrenalin berlaku dan mengakibatkan perjalanan darah ke dalam otot zakar terencat sehingga ereksi yang membina itu kendur. Situasi ini dikenali sebagai ‘Mati Pucuk Malam Pertama’.

Jika berlaku kepada wanita, perjalanan darah ke anggota sulitnya terencat, kegebuan bibir tidak menjadi dan mengecut. Apabila melakukan kemutan, ia mencengkam lubang najis dan lubang kencing, maka pembukaan farajnya tertutup. Situasi ini dikenali sebagai ‘Mati Putik Malam Pertama’.

Dua masalah itu dapat diatasi apabila suami dan isteri menyedari perkara sebenar yang berlaku dan bekerjasama untuk mengatasinya.

Sebagai permulaan, wanita yang mengalami ‘Mati Putik Malam Pertama’ perlu tahu perkara yang berlaku itu bukan kerana buatan orang.

Ia berlaku kerana perasaan takut. Dia perlu tahu dan mengenali anggota sulitnya dengan menggunakan cermin dan meneliti bahagian anggota itu. Dia boleh mengenali pembukaan lubang faraj dan cuba memasukkan satu jari.

Selepas memahami yang pembukaan faraj itu satu rongga yang boleh meluas dan mengikut kawalan badannya, dia boleh cuba memasukkan dua jari dan jika berasa kesat, dia boleh menggunakan jeli pelicin.

Apabila berasa selesa, dia boleh mengizinkan pasangan melakukan perkara sama. Apabila pasangan berasa yakin pula, dia boleh mulakan hubungan seks penetratif.

Jika suami masih tidak mampu mencapai ereksi yang bertahan lama, ubat yang dapat melancarkan darah ke dalam otot zakar akan diberi doktor melalui preskripsi . Apabila hubungan seksual itu lancar, ubat berkenaan tidak lagi diperlukan.

Justeru, jangan terlalu taksub dengan bomoh atau dukun. Suami anda tetap bernafsu jika kena dengan caranya.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan




Artikel Dr Ismail Tambi ~ CARA ONANI RISIKO HILANG KUALITI

XGENE


SEBELUM ini, saya membincangkan masalah ejakulasi pramatang dan ereksi. Minggu ini, saya mengetengahkan masalah cara onani yang diketahui keburukannya oleh lelaki dan perempuan tetapi masih melakukannya.
Kebanyakan laman yang menyebut mengenai onani menyatakan amalan itu normal untuk lelaki dan perempuan. Ia boleh dilakukan sekadar untuk melegakan tekanan.

Malangnya, penulis laman tidak menyatakan amalan itu berisiko mengakibatkan kerosakan kepada anggota kelamin atau membuatkan pengamalnya ketagih.
Memandangkan anggota kelamin itu mengandungi tisu lembut, tisu pengembang, otot lembut, urat saraf dan pembuluh darah, kemungkinan besar struktur itu cedera atau rosak fungsinya yang boleh membuatkan anggota itu tidak sempurna atau tidak berkualiti kemudian hari.

Kadangkala perasaan teruja yang amat sangat boleh membuatkan pengamalnya menyentap dan menekan anggota kelamin dengan kuat, sekali gus menyebabkan kecederaan dalaman.

Tisu dalaman boleh cedera lalu menjadi parut dan apabila parut mengeras, zakar boleh membengkok atau melengkung. Keadaan ini dikenali sebagai penyakit ‘Peyronie’ dan perubahan ini hanya kelihatan selepas beberapa bulan atau tahun.
Kesudahannya, seseorang itu akan mengalami masalah cepat klimaks kemudian hari. Jika amalan tidak sihat seperti ini diteruskan juga, dia akan gagal mengekalkan ereksi dan terpaksa merangsangnya untuk mengekalkan ketegangan, yang mana jika tidak dilakukan akan membuatkan ereksi hilang daya kekerasan. Ini kerap berlaku kepada lelaki yang sering melakukan onani.

Mereka tidak dapat mengekalkan ereksi ketika melakukan ‘foreplay’ dengan pasangan dan kesudahannya tidak dapat melakukan penembusan faraj.

Gunakan tenaga itu untuk membina badan dan kekuatan fizikal dan jadi lelaki yang berdaya tahan untuk masa depan lebih cemerlang. Jangan jadikan onani sebagai amalan kerana kesannya membawa kepada keburukan. Pastikan kesihatan seksual anda dalam kawalan anda.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan

Monday, 21 April 2014

Artikel Dr Ismail Tambi ~ SUAMI SELALU LETIH

XGENE


SAYA ada menerima rintihan daripada seorang isteri yang mendedahkan perasaannya terhadap hubungan intim dengan suaminya, ingin saya nyatakan di sini bahawa masalah sebegitu kini banyak dialami oleh kebanyakan wanita yang sudah berkahwin.
Berdasarkan kepada rintihan wanita itu, dia nyatakan bahawa sudah berkahwin selama lima tahun dan mempunyai dua orang anak dan suaminya bekerja tidak tentu masa dan banyak menghabiskan masa di tempat kerja. Dakwanya rutin harian suaminya hanya tertumpu pada kerja dan apabila berada di rumah hanya lebih suka tidur serta tidak pernah beriadah atau bersenam.

Yang menjadi kebimbangannya adalah suami dia mempunyai tahap klimaks yang sangat cepat dan kurang bersemangat untuk ‘bersama’. Alasan yang sering diberi adalah penat dan apabila bersama, akan cepat ejakulasi walaupun cuma beberapa minit menjalinkan hubungan. Keadaan itu menyebabkannya kebingungan dan tidak puas hati dan ia jelas menunjukkan prestasi si suami tidak dapat memenuhi dan memberi kepuasan kepada si isteri. Situasi sedemikian seharusnya tidak boleh dipandang remeh dan memerlukan penyelesaian segera.
Seperti juga yang saya katakan, masalah sebegini dihadapi ramai lagi isteri dan pelbagai cara dilakukan untuk mencari jalan penyelesaian, sebilangan mereka cuba membincang dengan suami dan sebilangan suami mereka hanya mendiamkan diri saja dan ada juga suami yang cakap akan berubah tetapi tidak berbuat apa-apa.

Daripada rintihan isteri yang saya pernah dengar ialah sebilangan suami mereka menjauhkan diri apabila ditegur isteri mengenai kelemahan mereka, si suami bagai tertekan untuk melakukan hubungan intim kerana takut perkara yang sama berulang. Lebih-lebih lagi suami yang cepat klimaks. Kebanyakan lelaki yang mengalami masalah yang seperti didedahkan itu, mudah sangat untuk memberi alasan keletihan. Mereka enggan mengakui kesalahan mereka dan sepatutnya menjalani pemeriksaan doktor untuk mengetahui tahap kesihatan.

Jika mereka amalkan gaya hidup tidak sihat seperti tidak mengawal makanan atau tidak makan makanan seimbang, tidak menjaga berat badan, tidak melakukan senaman secara berkala, merokok dan minum minuman keras dan tidak mengurus tekanan, sudah tentu keadaan ini melemahkan tenaga batin dan syahwat mereka.
Lebih-lebih lagi jika mereka mengalami masalah kesihatan seperti peningkatan kolesterol dalam darah, tekanan darah, perubahan awal mengidap kencing manis atau penyakit koronari, sudah tentu masalah lemah tadi akan menjadi lebih ketara selagi masalah kesihatan itu tidak ditangani.

Perkara yang saya amat khuatir untuk suami yang sebegini ialah dalam keadaan terdesak mereka mencuba ubat kuat yang dijual secara langsung atau menjalani rawatan karut seperti urut dan makan jamu dan majun yang mungkin mengandungi ubat larangan atau menggunakan pam vakum tanpa rujukan doktor, apa yang terjadi bukan pemulihan, malah kesengsaraan yang menjejaskan kesihatan mereka.
Saya tidak tahu apa yang boleh disyorkan kepada pengadu, sebenarnya yang mengalami masalah ialah si suami dan dia tidak terfikir langsung yang masalahnya itu perlu rujukan doktor.

Dia juga perlu sedar yang perkara itu tidak akan hilang dengan mendiamkan diri saja. Dia perlu sedar yang dia ada tanggungjawab kepada anda dan anak dan apa yang dia buat itu hanya mensia-siakan dirinya dan keluarganya.

Saya harap semua lelaki yang membaca huraian ini terbuka hati untuk berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan menjalani rawatan moden dan yang selamat jika mereka mengalami masalah yang sama. Jangan cuba rawatan secara sendirian atau melalui iklan mengarut.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan

Friday, 18 April 2014

Soal Jawab Dr Ismail Tambi ~ RADANG PUNCA ZAKAR BENGKAK & GATAL

XGENE

Baru-baru ini saya mengalami bengkak di kawasan kepala zakar selain gatal di bahagian bawahnya. Saya tidak tahu bagaimana ia bermula dan apa puncanya, tetapi ia mengganggu kehidupan saya. Adakah ia penyakit kulit atau berkaitan alat kelamin?
FAIZAL 
Ipoh, Perak
Kulit anggota kelamin lelaki daripada jenis lembut yang berlapik tisu pengembang. Jika kering, kulit itu akan terasa tegang dan gatal. Jika digaru, tisu pengembang di bawahnya akan mengembang dan membuatkan kulit mengalami keradangan. 
Membasuh anggota kelamin menggunakan sabun dengan kerap boleh membuatkan kulit kering dan gatal. Untuk mengekalkan bahan pelembap semula jadi dalam klut zakar, sebaik-baiknya cuci anggota kelamin dengan sabun pelembap dan setelah dikeringkan, sapu ia dengan krim pelembap. 
Keradangan kulit ­biasanya tidak menyebabkan gatal, kecuali jika ia berpunca daripada jangkitan kulat. Antara punca kelengkang terdedah pada keradangan iaitu ‘contact dermatitis’ adalah disebabkan penggunaan pakaian dalam yang mengandungi getah di bahagian kelangkang.

Guna pakaian dalam longgar bagi memudahkan pergerakan angin kerana ia memberi keselesaan pada alat sulit. Jika keradangan dialami tidak selesai dengan penggunaan krim pelembap, kemungkinan ia disebabkan jangkitan kulat dan anda wajib berjumpa doktor.

Elak menggunakan barangan atau produk ubatan lain tanpa nasihat doktor bertauliah.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan
Artikel HARIAN METRO ini disiarkan pada : 2014/04/13

Soal Jawab Dr Ismail Tambi ~ GUNA LOSEN SEBELUM BERCUKUR

XGENE


Saya berumur 26 tahun dan sudah berumah tangga. Saya mengalami kegatalan di bahagian kerandut zakar. Saya risau jika saya me-ngalami jangkitan kutu kelamin atau penyakit lain.
Selain gatal, kawasan kepala zakar timbul bintik merah tapi dalam waktu singkat. Ia kelihatan pada waktu pagi tapi hilang pada petangnya. Bagaimanapun, ia timbul semula di bahagian lain. 
RAZAK 
Jempol, Negeri Sembilan

Jangkitan kutu pubik adalah penyakit kelamin. Ini bermakna anda hanya dapat jangkitan kutu jika pasangan anda pembawa kutu berkenaan, namun keadaan ini jarang berlaku antara pasangan kelamin yang halal.

Kulit kerandut mudah terasa gatal apabila kering dan bulu roma yang dicukur mula tumbuh dan mencucuk kulit berdekatan. Bulu roma lebih baik dinipiskan berbanding dicukur.

Jika nak mencukur pun, bahagian atau kawasan yang hendak dicukur perlu dilembutkan dengan losen pelembap selama semalaman dan keesokan menggunakan sabun pencukur serta pisau cukur baru yang tajam. Lepas cukur, gunakan losen pelembap supaya kulit segar.

Mengenai bintik yang keluar di permukaan penghujung zakar, itu perubahan kulit mukosa penghujung alat kelamin.

Fenomena digelar ‘pearly white papule’ ini kerap kelihatan di permukaan dan keliling lekuk zakar, namun ia bukan penyakit kulit. Oleh itu, ia hilang daan timbul di kawasan lain.

Namun jika apa yang saya syorkan tidak memberi manfaat, kemungkinan masalah anda berkaitan penyakit kulit lain. Anda boleh jumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan mendapat rawatan sewajar atau e-mel selanjutnya kepada dr_tambi@yahoo.com.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan
Artikel HARIAN METRO ini disiarkan pada : 2014/04/13

Monday, 14 April 2014

Artikel Dr Ismail Tambi ~ 'POWER' TIDAK SEMESTINYA HEBAT

XGENE


Saya pernah ditanya sama ada ‘power ejakulasi’ iaitu ejakulasi dinamik seperti air mani terpancut keluar jauh adalah lebih baik daripada ejakulasi yang keluar biasa atau menitis. Jawapan saya, jika air mani masuk ke dalam faraj, kehamilan boleh berlaku. Ia semudah itu.
Masih ramai tidak faham mengenai air mani dan berfikiran ejakulasi ‘power’ adalah hebat, namun isteri masih belum hamil.  

Jangan salah sangka. Sebenarnya, air mani keluar akibat tekanan cengkaman otot sistem ejakulasi dan otot lantai pelvis. Jika anda mengawal otot lantai pelvis ketika mencapai ejakulasi, ia akan terbantut atau tidak terasa.

Perkara menahan kemut atau mengemut ketika ejakulasi biasanya dilakukan bagi mengawal masalah cepat klimaks dan kesannya ialah ejakulasi tidak terasa seperti biasa.

Ada juga lelaki mempunyai otot lantai pelvis (otot kemut) yang kurang aktif dan tentu dia akan mengalami masalah ejakulasi tidak terasa.

Jika itu masalah sebenar, cara paling mudah untuk mengatasinya ialah dengan mengamalkan senaman kemut atau ‘Kegel’.

Kini dengan terapi Elektro Magnetik Pelvi-Center, lelaki yang otot lantai pelvisnya lemah dapat menjadikannya lebih kuat.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan


Artikel disiarkan pada : 2014/01/19

Soal Jawab Dr Ismail Tambi ~PERIKSA KELAMIN SEBULAN SEKALI

XGENE


Saya buntu dan bimbang dengan apa yang saya alami sekarang. Ketika hendak mandi, saya perasan ada gelembung di bawah alat kelamin, betul-betul di bahagian sebelum kepala zakar.
Bila disentuh, ia terasa lembik seperti ada cecair di bawah. Sebelum perasan kehadiran gelembung itu, saya mencapai orgasma dalam keadaan meniarap. Apakah puncanya dan adakah ia boleh diubati? 
SERI 
Subang, Selangor

Penjagaan anggota kelamin mustahak dan perlu dilakukan sekurang-kurangnya sebulan sekali. Jika wujud perubahan luar biasa, ia perlu dirujuk kepada
doktor, terutama jika perubahan itu menyakitkan.

Jika gelembung itu biasa dan kelihatan sejak dulu lagi, tentu anda tidak akan rasa gelisah. Anda mungkin jarang melakukan pemeriksaan kendiri anggota kelamin, menyebabkan anda tidak sedar gelembung itu mungkin wujud sejak dulu.

Kebetulan pada hari anda perasan kehadiran gelembung itu, anda mengeluarkan air mani secara luar biasa.

Mungkin kerana itu anda rasa seolah-olah apa yang berlaku itu akibat perbuatan anda. Masalah ini sukar diulas selagi tidak menjalani pemeriksaan doktor.

Sebaiknya-baiknya dapatkan rawatan segera kerana bimbang ia melarat.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan
Artikel HARIAN METRO ini disiarkan pada : 2014/04/13

Thursday, 10 April 2014

Soal Jawab Dr Ismail Tambi ~ SEBUM PUNCA JERAWAT DI ALAT KELAMIN

XGENE


Baru-baru ini saya dapati ada beberapa biji kecil seolah-olah jerawat tumbuh di sekitar batang dan pangkal alat sulit.
Apabila ditekan ia tidak sakit dan tidak pula menunjukkan tanda akan membesar. Adakah ini jerawat biasa disebabkan liang roma tersumbat atau sesuatu yang serius? 
JEJAKA RESAH 
Pulau Pinang

Kulit yang menyelaputi zakar dan pangkal alat sulit adalah halus dan lembut yang mengandungi tisu pengembang tanpa lemak.

Bulu roma masih ada di pangkal alat sulit dan tiada di keseluruhannya walaupun akar atau folikel masih kekal. Ada kala folikel ini kelihatan timbul seperti bintik-bintik apabila kulit bahagian itu kering atau radang.

Kadangkala folikel yang radang itu membesar menjadi ‘jerawat’ dan jika dipicit akan keluar cecair pekat seperti keju. Itu pundi pelembap semula jadi ‘sebum’ yang terkandas. Ada kalanya jerawat ini boleh membesar dan menyakitkan.

Anda perlu rujuk kepada doktor untuk menjalani pemeriksaan dan mendapat rawatan jika ia perlu. Prosedur mengeluarkan jerawat boleh dilakukan di dewan bedah kecil.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan
Artikel HARIAN METRO ini disiarkan pada : 2014/03/02

Tuesday, 8 April 2014

Artikel Dr Ismail Tambi ~ PERIKSA BUAH KERANDUT ATAU TESTIS

XGENE


LELAKI mempunyai sepasang buah kerandut atau ‘testis’ yang mula aktif dan membesar selepas lelaki itu mencapai akil baligh.
Bentuk dan saiz buah kerandut menggambarkan keaktifan kilang dan sebagai bandingan, saiz buah kerandut lelaki matang tidak kurang daripada tiga per empat saiz ibu jari kakinya.
Jika digunakan pengukurnya (Prader’s Orkidometer) saiz buah kerandut yang normal untuk lelaki Asia ialah antara 12 mililiter (ml) hingga 25 ml.

Ukuran 10 ml boleh dikatakan yang terendah normal dan kurang daripada itu akan menjadi tidak normal. Buah kerandut kecil kurang menghasilkan sperma. Jika sangat kecil, kemungkinan buah kerandut tidak dapat menghasilkan sperma. Buah kerandut sebegitu dinamakan ‘atrophic testis’.
Saiz buah kerandut boleh berubah dari semasa ke semasa dan lelaki berkahwin akan mendapati kilang sperma aktif dan buah kerandut akan kelihatan besar jika hubungan kelamin kerap dilakukan. Jika kurang melakukan hubungan seks, lama-kelamaan buah kerandutnya kelihatan kecil dan mengecut.

Perubahan suhu buah kerandut juga boleh mempengaruhi saiznya dan jika terdedah kepada kepanasan untuk jangka masa lama, kilang buah kerandut menjadi kurang aktif dan mengecut.

Jadi pakaian dalam ketat, yang menolak buah kerandut berdekatan badan, dan lebih-lebih lagi jika lelaki itu gemuk dengan banyak lemak di tundun dengan kedua-dua buah kerandut berkedudukan mengelilingi lemak, lama-kelamaan buah zakar boleh mengecut.

Kecederaan atau trauma kepada buah kerandut dan lebih-lebih lagi kecederaan kepada pembuluh darah yang berlaku secara tidak sengaja (seperti tertendang) atau sengaja seperti mengurut juga boleh membuatkan kilang dalaman tercedera dan buah kerandut mengecil beberapa bulan kemudian.

Sama juga dengan infeksi atau radang buah kerandut disebabkan jangkitan seperti penyakit beguk atau ‘mumps’ boleh membuatkan ia mengecil selepas beberapa tahun.

Jika pembuluh darah kepada buah kerandut tersekat atau jalanan darah terganggu, kedua-dua buah kerandut itu juga boleh mengecut dan mengecil.

Cara tepat untuk mengesan perubahan kepada buah kerandut ialah menerusi pemeriksaan kendiri atau ‘self testicular examination’ sebulan sekali. Cara pemeriksaan ialah seperti berikut:

Lihat kedudukan buah kerandut depan cermin. Tujuh puluh peratus lelaki mempunyai buah kerandut kiri sedikit ke bawah daripada kanan dan ia perkara biasa. Kemudian guna tangan kiri untuk mengampu kerandut sambil tangan kanan menelitinya dari depan ke belakang dan dari atas ke bawah, meneliti pundi epididimis dan pembuluh darah. Lakuan perkara sama untuk memeriksa buah kerandut kiri dan kali ini tangan kanan mengampu kerandut. Jika terasa sesuatu yang memusykilkan, jumpa doktor.

Jika sudah bertemu doktor dan tidak puas hati dengan hasil pemeriksaan, jumpa pakar untuk pendapat kedua. Untuk kepastian, pemeriksaan imbasan boleh dilakukan dan diagnosis tepat dapat diberi.
Perasaan kebas pada anggota kelamin anda ada kaitan dengan tekanan urat saraf dan perjalanan darah di bahagian ‘perineum’ atau kelangkang akibat menunggang motosikal. Anda boleh gunakan kusyen lebih lembut dan ubah posisi menunggang supaya bahagian kelangkang tidak tertekan lama. Jika terus mengalami tekanan itu, kemungkinan anda mengalami ED atau disfungsi erektil.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan

Soal Jawab Dr Ismail Tambi ~ KETULAN MEMBESAR BAGAI TESTIS KETIGA

XGENE


Baru-baru ini saya mendapati wujud ketulan yang membentuk seolah-olah testis ketiga dalam scrotum saya. Ketulan ini kadangkala mengecut dan ada kalanya membesar, lebih besar daripada testis sebenar.
Setiap kali bersin atau meneran ketika membuang air besar, ketulan itu akan membesar dan keras. Jika dipegang terasa sangat pedih sekali. 
Untuk pengetahuan, saya masih menuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan sudah tiga tahun mengalami masalah ketulan ini yang asalnya hanya sebesar manik. 
AZRI 
Segamat, Johor

Berdasarkan soalan anda, masalah itu kelihatan sangat berat. Saya pasti lelaki lain tentu sudah berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan mendapat rawatan.

Buah zakar mustahak untuk lelaki kerana ia kilang yang menghasilkan sperma dan hormon syahwat lelaki. Jika rosak, tentu lelaki itu mandul dan semangat kelelakiannya pudar!

Anda nampaknya lebih suka ‘membela’ masalah itu. Sepatutnya berjumpa doktor lebih awal lagi jika anda dapati sesuatu yang luar biasa di bahagian kerandut buah zakar.

Kini ‘benda’ itu semakin besar, mengembang ketika anda meneran dan menyakitkan. Doktor bukan tukang tilik. Tanpa pemeriksaan, mana-mana doktor tidak dapat memberi kesimpulan terhadap masalah anda.

Namun, berdasarkan gambaran diberi, ia mungkin merujuk kepada beberapa masalah seperti pundi epididimis anda mengalami keradangan, ada sista besar dalam pundi epididimis, kemungkinan angin pasangan atau pembuluh darah vena buah zakar anda kembang dan bengkak.

Namun, semua kemungkinan itu perlu dikenal pasti melalui pemeriksaan dan imbasan dengan alat pengimbas. Justeru, buat pemeriksaan segera dan jangan bertangguh.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan
Artikel HARIAN METRO ini disiarkan pada : 2014/04/06

Friday, 4 April 2014

Artikel Dr Ismail Tambi ~ EJAKULASI PRAMATANG

XGENE


MINGGU ini saya akan mengetengahkan satu lagi isu yang menjadi igauan buruk setiap pasangan berumah tangga. Istilah cepat klimaks atau ‘ejakulasi pramatang’ yang digunakan menggambarkan ketidakupayaan lelaki mengawal ejakulasi sebelum dia dan pasangannya puas dalam hubungan intim seksual.
Terdapat sebilangan lelaki yang dapat mengekalkan ereksi walaupun mereka tidak dapat mengawal ejakulasi dan terdapat juga sebilangan lelaki yang mengalami perkara sebaliknya, iaitu tidak dapat mengekalkan ereksi dan gagal untuk mencapai ejakulasi.
Justeru, fenomena ereksi, iaitu kekerasan alat kemaluan hasil kemasukan darah yang banyak ke dalam otot kemaluan akibat rangsangan seksual dan ejakulasi, iaitu pencapaian kemuncak rangsangan seksual dengan diiringi pancutan air mani, adalah dua fenomena berasingan.

Mungkin ini yang membuatkan lelaki memikirkan ereksi dan ejakulasi adalah fenomena sama. Jadi, anda tidak dapat mengawal ejakulasi dan juga tidak dapat mengekalkan ereksi.

Apabila seseorang lelaki mencapai ereksi hasil tindak balas perasaan teruja seksual, tahap kekuatan dan kekerasan ereksi dapat ditingkatkan dengan kemutan. Jika otot kemut lemah, daya ereksi pun lemah dan tidak bertahan.

Jika mempunyai daya dan kekuatan otot kemut hebat, maka lelaki dapat mengawal daya dan kekuatan ereksi ke tahap mantap dan dapat mengawal pergerakan dayungan serta boleh memilih masa kemuncak dan ejakulasi.

Kawalan ejakulasi pula memerlukan tumpuan minda kepada rangsangan yang tidak akan mencetuskan kemuncak. Memandangkan penghujung alat kemaluan amat sensitif, sudah tentu rangsangan kepada bahagian itu akan mempercepatkan klimaks dan ejakulasi.

Justeru, jika melebihkan geselan pangkal alat kemaluan suami yang tidak sensitif itu ke langit kemaluan isteri dengan dayungan yang terkawal, maka seseorang itu akan dapat mengawal klimaks. Teknik ini dikenali sebagai 'Coital Alignment Technique' dan anda boleh dapatkan maklumat mengenai teknik ini di dalam Internet.

Anda perlu terus mengamalkan gaya hidup sihat dan tambahkan senaman untuk mengukuhkan otot lantai pelvis atau otot kemut melalui senaman kemut. Jika masih gagal, anda perlu berjumpa doktor yang dapat membantu anda.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan

Soal Jawab Dr Ismail Tambi ~ SELALU TERKENCING APABILA SUJUD

XGENE


Saya berumur 23 tahun dan baru bertunang. Apabila rukuk atau sujud ketika bersolat, kadangkala air kencing terkeluar walaupun saya membuang air kecil sebelum solat. Masalah ini menyebabkan solat saya terjejas.
Masalah kedua, sewaktu berusia empat atau lima tahun, saya pernah terkena rembatan bola yang kuat di kawasan kemaluan, selain pernah beronani tetapi tidak kerap. 
Pada waktu sekarang, bila keluar dengan tunang, kemaluan saya kerap ereksi hingga kadangkala rasa senak di bahagian kantung telur. 
LEMAN 
Puchong

Ketika membaca keluhan anda, saya teringat kes lelaki yang meluahkan keluhan serupa iaitu kesedaran bahawa ereksi tak sekuat dulu selain rasa seperti air kencing terkeluar ketika rukuk.

Sebenarnya perkara dijelaskan itu memang wujud dari awal lagi, cuma ketika itu ia bukan isu. Malah, ia bukan isu langsung dan sebahagian besar masalah ini boleh diatasi dengan amalan tertentu.

Misalnya, air kencing terkeluar ketika rukuk atau sujud kerana pundi kencing penuh dan sebarang pergerakan sebegitu akan menekan pundi kencing, sekali gus membuatkan air kencing terkeluar.

Untuk mengelakkan ia berulang, pastikan anda buang air kecil dulu sebelum solat dan pastikan air kencing habis dengan mengemut serta melurut zakar, selain mencuci penghujung zakar sebelum memakai pakaian.

Bagi keadaan zakar senak sewaktu ereksi pula, ia berlaku apabila darah masuk dengan banyak ke dalam buah zakar dan membuatkannya kembang atau ‘congested’.

Ia akan lega apabila perasaan teruja ereksi berkurangan. Jika lambat lega, boleh dituam dengan ais!

Anda wajar membuat persediaan sebelum berkahwin dan mendapatkan panduan itu daripada pakar perubatan bertauliah.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan
Artikel HARIAN METRO ini disiarkan pada : 2014/04/06

Thursday, 3 April 2014

Artikel Dr Ismail Tambi ~ KETUAT BOLEH DIJANGKITI

XGENE


Lelaki sering mengalami masalah anggota kelamin seperti kemunculan kutil, ketuat, gelembung, bijian, kudis dan ketulan. Sebenarnya, ia tidak perlu dirisaukan. Bagaimanapun, ia petanda anda ada penyakit kulit dan perlu dikendalikan doktor pakar kulit.
Anda harus menjalani pemeriksaan dan mendapat rawatan jika masalah itu memudaratkan kesihatan dan mengganggu hubungan seksual dengan pasangan atau membahayakan. 
Untuk makluman, kutil atau ketulan kulit seperti `daging' yang berjuntai di keliling penghujung zakar, tempat jahitan berkhatan atau ketulan isi yang timbul di pangkal zakar mungkin ketuat atau `warts'.

Kadangkala bekas parut yang berlaku selepas berkhatan disangka ketuat kerana cantuman kulit tidak sempurna. Maksud kutil sebenar ialah lebihan kulit yang berjuntai dan ia bukan penyakit kulit, manakala ketuat pula penyakit kulit akibat jangkitan virus atau HPV (Human Papilloma Virus).

Ketuat di penghujung zakar berbeza daripada di kulit tundun atau pangkal zakar kerana kulit bahagian itu berbeza.

Bagaimanapun, jangkitan itu sama walaupun jenis virus ketuat mungkin berbeza. Jika anda mendapati kutil di keseluruhan anggota kelamin dan tidak tahu ia jangkitan atau sebaliknya, anda harus berjumpa doktor untuk kepastian.

Ketuat boleh merebak cepat dan keseluruhan kulit zakar boleh terkena jangkitan. Begitupun, ia boleh mengecut apabila virus musnah kerana tindak balas sistem daya kawalan atau 'sistem imun'.

Jika benar jangkitan kulit itu ketuat, doktor boleh memberi ubat untuk disapu dan ia boleh hilang dan pulih seperti sedia kala. Bagaimanapun, jangan risau kerana ketuat jarang berubah menjadi kanser.

Saya syorkan lelaki yang ada masalah ini berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan mendapat rawatan.

Ramai tidak tahu sebenarnya ketuat boleh berjangkit melalui hubungan seks. Buat masa ini golongan lelaki tidak perlu mendapat suntikan pelalian HPV seperti yang digalakkan kepada perempuan berumur sembilan hingga 26 tahun.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan
Artikel HARIAN METRO ini disiarkan pada : 2014/03/16

Wednesday, 2 April 2014

Artikel Dr Ismail Tambi ~ UJIAN TENTU KESUBURAN

XGENE


PASANGAN yang berkahwin tentu mahukan zuriat tetapi ramai juga yang terus hampa walaupun cuba bermacam cara. Malah, keadaan tentu lebih menyukarkan kepada pasangan yang lewat mendirikan rumah tangga.
Mengikut kajian, kemungkinan hamil untuk pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, terutama yang ingin cepat dapat anak, ialah 15 hingga 20 peratus.
Ini membabitkan kekerapan hubungan seksual antara tiga hingga empat kali seminggu atau lebih dan dilakukan pada waktu wanita itu subur.

Peratusan ini menurun kepada 10 hingga 12 peratus selepas enam bulan perkahwinan dan menurun lagi jika pasangan itu masih gagal mencapai kehamilan.
Dalam masa setahun atau enam bulan untuk pasangan yang kahwin lewat, jika tiada tanda hamil, mustahak untuk berjumpa doktor bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan sewajarnya.

Mendapat nasihat profesional daripada mereka yang tidak bertauliah adalah amalan berbahaya. Jika terpengaruh dengan cerita dongeng, ia boleh menimbulkan perbalahan dalam rumah tangga.

Bagi pasangan berumur, hanya menerusi pemeriksaan doktor, baru boleh tahu sama ada air mani pasangan lelaki mengandungi sperma mencukupi, berbentuk normal dan aktif atau sebaliknya.

Lelaki berusia mengalami perubahan kepada fungsi ereksi serta ejakulasi dan perubahan ini semula jadi. Lelaki berusia mengambil masa untuk mencapai ereksi dan kekuatan ereksinya tidak sama seperti ereksi ketika muda, walaupun ia mencukupi untuk masuk ke dalam alat sulit wanita.

Pancutan air mani lelaki berumur kurang berbanding tekanan ejakulasi lelaki muda. Air mani lelaki berumur lebih cair dan kekuningan. Ini bukan masalah, tetapi hanya perubahan fizikal air mani. Daripada warna air mani, tidak akan tahu kesuburan air mani itu.

Ramai lelaki tidak tahu masalah kesuburan lelaki berkaitan dengan sperma mengambil masa lama untuk pulih kerana ubat diberi untuk pemulihan benih hanya dapat diketahui keberkesanannya selepas tiga bulan.

Kadangkala rawatan itu memerlukan dua hingga empat putaran dan boleh mengambil masa hingga setahun. Jadi, lagi cepat diperiksa doktor, lebih cepat masalah sebenar dapat dikesan dan rawatan sewajar diberi.

Jika lambat, masalah lain pula timbul seperti mati pucuk atau masalah andropause, selain kemungkinan penyakit kronik pula seperti tekanan darah tinggi dan diabetis yang memberi kesan buruk kepada fungsi syahwat dan kesuburan lelaki.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan