Thursday, 22 May 2014

Soal Jawab Dr Ismail Tambi ~ AIR KENCING BERCABANG

XGENE


Saya mengalami masalah kencing bercabang, di lubang zakar seperti ada sesuatu yang keras menghalang air kencing mengalir dengan lancar.
Ketika dan selepas membuang air kecil, saya terasa sakit di hujung kepala zakar. 
RAZAK 
Tampoi, Johor

Kencing bercabang boleh berlaku kepada lelaki dan wanita. Ia boleh berlaku dan menjadi kembali sedia kala secara spontan.

Ini terjadi mungkin kerana pertengahan lubang kencing melekat dan kemudian bahagian yang terlekat itu terbuka. 

Jika keadaan kencing bercabang itu kekal dan memberi masalah seperti memercikkan air atau menyakitkan, mustahak untuk menjalani pemeriksaan dan mendapat rawatan. 

Jarang salur kencing radang akibat jangkitan dan bahagian pertengahan lubang kencing melekat sebagai parut. Namun, ada juga lubang salur kencing tertutup separa akibat ketulan ‘isis‚ yang terjojol daripada mukosa salur kencing seperti papilloma atau kutil. 

Apabila papilloma atau kutil itu dibuang, perjalanan kencing menjadi sehala dan tidak lagi bercabang. 

Jika air kencing masih keluar bercabang walaupun anda mengepit hujung zakar untuk meluaskan pembukaan lubang kencing, anda perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan. 

Jangan pula anda cuba mencucuk lubang kencing dengan lidi atau dawai kerana boleh memberatkan lagi masalah.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/11

Soal Jawab Dr Ismail Tambi ~ ULSER KERANA SEKS ORAL

XGENE

Sudah tiga minggu saya menghidapi masalah ulser di mulut dan sudah tiga kali juga saya berjumpa doktor bagi merawat masalah ini.
Sepanjang berjumpa doktor, saya mengambil pelbagai ubat serta ujian, termasuk serology test HIV dan herpes yang menunjukkan keputusan negatif. 
Saya risau terkena jangkitan kelamin yang menyebabkan ulser di mulut akibat hubungan seks. Bagi ujian saringan darah HIV, adakah saya perlu menunggu enam bulan untuk melakukan ujian itu? 

Ini membuatkan saya tertekan berikutan tidak tahu apa yang berlaku pada saya.
ZUBIR 
Kuantan, Pahang
 

Saya sering dikunjungi lelaki bergelar suami yang ketakutan dan resah kerana mengalami gejala yang mereka percaya penyakit kelamin akibat mengunjungi pelacur atau melakukan seks rambang dengan kawan sekerja selain kenalan baru. 

Sesetengah daripada mereka kelihatan cemas kerana melakukan seks dengan isteri sebelum gejala penyakit ‘STI‚ atau penyakit kelamin yang mereka jangka itu menonjol. 

Malah, sebahagian daripada mereka berjumpa beberapa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan masih tidak puas dan tidak percaya atau bingung dengan maklumat dan hasil laporan yang doktor berikan. 

Mereka seolah-olah mahukan laporan hasil kajian darah itu menunjukkan mereka ada gejala penyakit kelamin. 

Jika laporan itu negatif dan simptom yang mereka alami mungkin tiada kaitan dengan penyakit kelamin tetapi masih kekal, mereka akan anggap ia kesan penyakit kelamin. 

Inilah gara-gara sikap lelaki yang tidak berfikir sebelum melakukan sesuatu yang berisiko tinggi. Apabila rasa teruja, dipelawa wanita dan mengunjungi sarang pelacuran, mereka tidak berfikir dua kali untuk bersetubuh. 

Tak terfikir langsung untuk menggunakan kondom dan jika menggunakannya sekali pun, anda tidak tahu sama ada ia sudah tamat tempoh atau bocor. 

Malah, jika melakukan seks oral, mereka tak terfikir mereka boleh terkena jangkitan daripada mulut wanita itu. 

Memang sukar untuk kendalikan kes seperti anda kerana anda terdesak, takut dan tidur tak lena memikirkan penyakit laknat itu selain asyik berfikir mengenai keselamatan isteri dan anak, kalau anda menjangkiti mereka. 

Jadi apa yang doktor katakan itu sukar untuk anda percaya. Jika terdedah kepada seks rambang, anda berisiko tinggi dijang­kiti penyakit kelamin. 

Keadaan ini sama apabila anda menggunakan kondom kerana belum pasti anda terhindar penyakit kelamin berikutan beberapa penyakit kelamin tidak boleh dihalang oleh penggunaan kondom seperti herpes dan papilloma. 

Pemeriksaan doktor dan ujian darah akan membantu mengesan jangkitan penyakit kelamin. 

Ujian darah untuk HIV hanya boleh diketahui selepas beberapa bulan iaitu apabila badan terdedah kepada kuman virus HIV. Ujian darah ini perlu dijadualkan atau diulangi tiga bulan dari tarikh anda terdedah kepada hubungan seks rambang itu. 

Saya cadangkan anda bersabar dan ikut nasihat dan penjelasan pakar yang mengendalikan kes anda.
Artikel HARIAN METRO ini disiarkan pada : 2014/05/11

Wednesday, 14 May 2014

Antara khasiat dan mudarat tongkat ali


 Orang Malaysia cepat terpengaruh ingin cantik cepat, ingin langsing, kuat tenaga dan ingin cepat kaya dan seterusnya tertipu dengan gimik iklan atau produk yang ditawarkan. Kenapa?''

Itu soalan yang dilontarkan oleh Pengarah Loji Pepandu Kejuruteraan Kimia (CEPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Ramlan Aziz yang ditanya mengenai obsesi rakyat negara kita terutama orang Melayu dengan produk prosesan hasilan herba.
Orang Melayu kata beliau, cepat terpengaruh dengan gimik iklan pelaris jualan yang menunjukkan kehebatan produk tertentu tanpa meneliti terlebih dahulu akan kebenarannya.
Pengguna juga mudah dan cepat mendapat hasil diingini tanpa mengira kesan sampingan produk yang mereka gunakan.

Beliau yang ditanya mengenai khasiat tongkat ali dan kacip fatimah untuk meningkatkan kehebatan dan tenaga berkata, kajian menunjukkan memang produk berasaskan tumbuhan tersebut mempunyai kesan positif tetapi ada pihak mengambil kesempatan mengkomersialkannya dengan cara yang salah.
''Saya tidak nafikan ada kajian mengesahkan khasiat kedua-dua herba popular itu, malangnya ia menjadi momokan dan permainan gimik.

Malah katanya, beliau kagum dengan orang terdahulu yang berjaya menemui khasiat produk tersebut sedangkan belum ada kecanggihan peralatan ketika itu untuk meneroka khasiatnya.
Namun kini, ada dua persoalan besar yang menjadi masalah pokok iaitu sama ada produk berasaskan tongkat ali dan kacip fatimah diproses dengan cara yang betul untuk menjadikannya minuman bertenaga dan kedua, adakah produk tersebut mencapai tahap minimum kandungan sebenarnya.

Katanya, cara memproses, boleh menimbulkan persoalan kerana ada pihak mungkin hanya mengisar tongkat ali berkenaan untuk dicampurkan dalam minuman.
Sedangkan katanya, cara terbaik ialah mengekstraknya terlebih dahulu secara kimia dan ditulenkan kerana ini cara betul untuk menjadikannya satu ramuan.

''Jika kita kisar sahaja, ia ibarat memasukkan habuk kayu dalam minuman dan ini membahayakan tubuh pengguna,'' katanya.

Malah orang Melayu kata beliau, boleh pupus jika menggunakan produk yang memudaratkan kerana ia boleh merosakkan organ peranakan.

Persoalan kedua, ialah adakah kandungan tongkat ali atau kacip fatimah tersebut mencukupi untuk melayakkannya digelar minuman daripada tongkat ali sedangkan kuantitinya sangat sedikit.
Kajian awal oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malayusia (FRIM) menunjukkan kandungan tongkat ali dalam kopi campuran adalah jauh daripada dos minuman yang memberi manfaat kepada kesihatan. Malah, ada jenama yang gagal dikesan kandungan tongkat ali dalam produk berkenaan.
Justeru beliau mahu agensi berkaitan, mengambil langkah perlu untuk menetapkan peraturan supaya jumlah minimum tertentu diperlukan bagi mengesahkan minuman tersebut memang mengandungi tongkat ali sebagai contoh dan mana-mana pihak yang tidak mematuhinya dianggap penipu.
Lebih mendukacitakan, sesetengah syarikat menggunakan testimoni untuk mengesahkan kehebatan produk mereka dan inilah yang mengundangkan minat pengguna.
Beliau berkata, trend ini semakin menjadi-jadi apatah lagi terdapat tawaran tertentu untuk menjadikan penggunanya kaya.

Beliau berkata, menggunakan produk berasaskan bahan semula jadi memang semakin menjadi trend di peringkat global disebabkan kecenderungan manusia kini untuk melakukan pencegahan penyakit berbanding rawatan, khususnya herba.
Dalam hal ini, Malaysia mempunyai kelebihan kerana memiliki kekayaan hutan atau biodiversiti yang boleh dimanfaatkan.

Bagaimanapun, menjadi cabaran saintis Malaysia untuk menjalankan lebih banyak penyelidikan mengenai khasiat tumbuhan herba dan peruntukan untuk tujuan tersebut perlu ditambah.
Satu lagi masalah yang timbul ialah perbuatan pengilang yang mencampurkan banyak jenis herba dalam satu jenis produk dengan mendakwa yang mampu merawat pelbagai jenis penyakit.

''Adakah ini telah dibuktikan secara saintifik atau hanya ilmu tradisional sedangkan kajian mengenainya perlu dilakukan terlebih dahulu," ujar Ramlan.
Perbuatan untuk mengkomersialkannya secara melulu ini ibarat menculik ilmu yang sepatutnya dipelajari terlebih dahulu.
Satu lagi penyelidikan yang perlu diperhebatkan ialah menghasilkan sebatian piawai yang boleh dijadikan rujukan dalam menghasilkan produk tongkat ali dan kacip fatimah pada masa akan datang.
Berdasarkan kajian kata Ramlan, tongkat ali mempunyai banyak khasiat antaranya meningkatkan hormon lelaki dan dikatakan mampu membantu menguruskan badan.

Khasiat tongkat ali

Khasiat ini disokong oleh satu kajian di Amerika Syarikat. Justeru, pada mana-mana produk, ia sepatutnya sama kemujarabannya walaupun diambil daripada pokok herba tertentu dari sumber yang menggunakan ekstrak piawai yang berlainan.
Sementara itu, salah sebuah institusi penyelidikan yang terlibat dalam kerja-kerja makmal mencari khasiat tongkat ali ialah FRIM.

Tongkat ali (Eurycoma longifolia) adalah dari famili Simaroubaceae telah digunakan secara tradisional oleh kaum Melayu di Malaysia sejak dahulu lagi.
Ia digunakan secara tradisional sebagai agen penggalak seks (apphrodiasiac) dan untuk meningkatkan kesihatan badan.

Penyelidikan tersebut dijalankan di bawah projek utama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) iaitu Program Perkongsian Bioteknologi Malaysia-Institut Teknologi Massachusetts (MIT).
Menurut Pengarah Kanan Bahagian Tumbuhan Perubatan FRIM, Dr Rasadah Mat Ali, penyelidikan tersebut bermula pada 1999 yang mana pihaknya terlibat mengkaji bahan kimia dan juga genetik tumbuhan tersebut.

"Hasil kajian kita mendapati penanda kimia tongkat ali sejenis bahan di namakan eurikomanon dan juga sebatian aktif," katanya.
Pelbagai sebatian kimia dalam tongkat ali telah diasingkan dan dikenalpasti. Pencirian dan penentuan struktur sebatian kimia tersebut dilakukan menerusi kaedah spektroskopi.
Beberapa sebatian kimia telah dipilih sebagai sebatian penanda ekstrak tongkat ali.
Sebatian penanda tersebut berperanan penting untuk memastikan identiti, integriti dan kualiti serta keseragaman produk yang berasaskan tongkat ali.
Eurikomanon yang merupakan sebatian utama (major) telah dipilih sebagai sebatian penanda untuk akar tongkat ali.

Peratus pemulangan pengekstrakan eurikomanon daripada akuas ekstrak akar tongkat ali adalah tidak kurang daripada 1.7 peratus.
Terkini, FRIM telah menawarkan perkhidmatan teknikal kepada industri farmaseutikal, nutraseutikal dan makanan, untuk penilaian kualiti ekstrak dan produk tongkat ali.
Penentuan kualiti juga dapat dihasilkan dengan teknologi sensor bau dan rasa yang telah digunakan sebagai peralatan penjanaan finger-printing untuk aktiviti pempiawaian tumbuhan ubatan, ekstrak dan herba produk.
Dengan adanya penanda kimia tersebut, ia sebagai 'cap cari' tongkat ali yang mengesahkan kehadirannya dalam mana-mana campuran pun.
Ditanya mengenai kegilaan golongan lelaki yang minum tongkat ali untuk menambah tenaga terutama untuk tujuan seks, beliau berkata, kajian mengenainya telah dibuktikan tetapi biasanya pada dos yang disyorkan.

''Pengguna sihat secara umumnya hanya memerlukan 100 miligram sehari sahaja," ujar Rasadah.
Katanya, memang benar ada kajian mengenai kandungannya yang dikenali sebagai kesan apphrodisiac tetapi kesannya bergantung kepada dos.

Kajian kimia mendapati kewujudan sebatian aktif seperti eurikomanon, eurikomalakton dan eurikomanol (qussinoids) yang banyak di dalam akar.
Sebatian ini telah dikenal pasti berkeupayaan untuk meningkatkan penghasilan hormon testosterone (androgenic) yang diperlukan dalam fungsi kelelakian.
Sebatian yang menyebabkan aktiviti tersebut telah dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan sebagai produk nutraseutikal atau farmaseutikal untuk rawatan masalah hormon dan kesuburan.
Apa yang penting dalam pengambilan tersebut, dos penggunaan perlu diambil kira kerana ada kemungkinan ia mengundang risiko kepada pengguna.

Hasil kajian juga mendapati bahawa tongkat ali mempunyai sebatian aktif anti malaria dan anti kanser tetapi kajian lanjut mengenai tumbuhan herba tersebut masih dijalankan.
Ditanya mengenai bahagian mana pada pokok tersebut yang paling banyak sebatian bioaktif, Rasadah berkata, khasiatnya banyak tersimpan di bahagian akar selain daun dan batang.
Orang Melayu kata beliau hanya mengetahui rahsia khasiat pada 1990-an dan ketika itu mereka menggunakannya dengan merebus bahagian yang dikatakan mempunyai banyak khasiat.
Dengan kata lain, apa yang dilakukan oleh saintis hari ini ialah untuk membuktikan atau mengesahkan apa yang telah dilakukan oleh orang terdahulu.

Pembuktian secara saintifik itu perlu bagi menguji keberkesanan, kualiti dan keselamatannya.
Malah FRIM telah menawarkan perkhidmatan memproses kepada industri herba dalam penghasilan produk daripada tongkat ali menerusi kilang Amalan Pengilangan Baik (GMP) di Pusat teknologi Herba (HTC) FRIM di Kepong.

Namun katanya, apa yang membimbangkan ialah kecenderungan segelintir pihak yang suka mencampurkan tongkat ali dengan bahan lain untuk menambah khasiat sesautu formulasi herba tersebut
''Kita tidak tahu apakah bahan-bahan yang dicampurkan ini bertindak balas sesama sendiri dan menimbulkan risiko lain," katanya.



ARKIB : 17/07/2009

Oleh LAUPA JUNUS

Friday, 2 May 2014

Soal Jawab Dr Ismail Tambi ~ KENTUT MENGGANGU EREKSI?

XGENE


Saya berkahwin sebulan lalu dan i­nginkan zuriat. Namun apabila bersama isteri, saya gagal melakukan pancutan terutama pada waktu pagi. Di waktu malam, pancutan adalah normal. Ada kalanya saya terkentut. Apakah masalah saya sebenarnya? Sebelum berkahwin, saya pernah beronani dan saya juga perokok.
ZARI 
Kuala Klawang, Negeri Sembilan

Perkahwinan memberi pelbagai penghayatan dan pengalaman dari segi hubungan intim. Anda mendapati keseronokan batin apabila berdampingan dengan teman idaman anda. Namun, setiap hubungan memerlukan penghayatan. 
Semua yang anda alami adalah normal untuk lelaki baru berkahwin dan akan lebih baik apabila semakin lama usia perkahwinan anda. 
Kentut juga biasa berlaku apabila anda terpaksa mengeraskan ereksi dengan mengemut dan mengeraskan perut, me­nyebabkan angin dalam usus besar tertekan keluar. 

Nasihat saya, amalkan gaya hidup sihat dengan banyak melakukan senaman berkala dan makan makanan seimbang. Kurang atau hentikan tabiat merokok kerana ia amalan tidak sihat. 

Kajian juga menunjukkan perokok tegar mudah mengalami mati pucuk dan kemandulan. Ini sebagaimana anda me­ngalami ereksi tetapi tidak cukup keras. Ia mung­kin petanda awal kesan buruk rokok. 

Jika ereksi kerap gagal atau kurang padat, anda perlu jalani pemeriksaan kesihatan dengan doktor untuk mengesan jika ada masalah kesihatan yang terselindung seperti kencing manis, peningkatan kolesterol dan lemak dalam darah. 

Semua penyakit kronik mengancam syahwat lelaki dan menyebabkan masalah seksual.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan
Artikel HARIAN METRO ini disiarkan pada : 2014/04/27

Artikel Dr Ismail Tambi ~ BAHAYA SEKS KETIKA HAID

XGENE

ISLAM melarang suami menyetubuhi isteri ketika isteri dalam haid, tetapi jika hidup bertuankan nafsu, ada yang tetap melakukannya.

Barangkali kefahaman mengenai darah haid itu kurang, menyebabkan ada suami menyangka tiada masalah jika bersetubuh ketika isteri uzur.

Mengikut pandangan dan kefahaman kuno, darah haid itu berbahaya. Jika jatuh ke tanah, ia membuatkan tanah itu tidak subur. Malah, wanita yang datang haid diasingkan dan kadangkala dikurung dalam bilik sehingga kembali suci.

Ada juga pandangan kononnya jika alat kelamin lelaki terkena darah haid, dia mungkin mati pucuk. Sebahagian besar daripada pandangan itu adalah mitos belaka, tetapi di sebalik mitos, ada juga kebenaran.

Haid sebenarnya ialah selaput dalam rahim atau endometrium yang tertanggal dari dinding rahim selepas selesai putaran hidupnya dan menjalani proses hancur lebur dan keluar dari rahim melalui saluran serviks dan faraj.


Ia bangkai yang membabitkan tisu dan sel mati dengan kandungan bakteria dan berbau seperti bangkai. Jika hubungan kelamin dilakukan pada waktu itu, wanita terdedah kepada air mani dan jika ada kuman perosak, tentu kuman itu mudah membiak dengan adanya sel dan tisu berkenaan.

Jika jangkitan merebak ke rahim dan salur rahim, kemungkinan keradangan organ boleh berlaku sehingga menjejaskan alat sulit.

Malah, ada juga kemungkinan jangkitan terbabit merebak terus ke dalam salur darah dan mengakibatkan kemasukan kuman dalam darah menerusi keadaan dikenali sebagai bacteriaemia, yang boleh menjejaskan kesihatan wanita dan mengakibatkan maut!

Hubungan seksual ketika haid juga mengundang risiko berlakunya pendarahan berlebihan sehingga menjejaskan kesihatan.

Memandangkan hubungan seksual dalam pandangan Islam ialah ibadat, melakukannya ketika wanita datang haid adalah salah daripada segi hukum Islam.

Sebabnya bukan saja daripada segi kekotoran dan najis yang keluar, tetapi kemungkinan berlaku kemudaratan kepada kesihatan wanita.

Sebahagian besar wanita pula mendapati ketika dalam haid, nafsu syahwat meningkat secara mendadak dan selera seks mereka mudah terbuka sehingga sanggup melakukan seks ketika itu.

Ada juga lelaki gemar melakukan hubungan seks ketika wanita dalam haid. Kononnya mereka seronok dengan bau darah haid.

Ini dikaitkan dengan ‘fetihisme’ atau ‘fetish’ kepada darah haid, yang mana perasaan seksual mereka mencapai satu keadaan luar biasa apabila terdedah kepada darah haid.

Tidak kurang juga pasangan yang sanggup melakukan seks ketika wanita dalam haid kerana tidak mahu wanita itu hamil.

Bagaimanapun, jika hubungan seksual dilakukan ketika haid berkurangan, kemungkinan wanita itu boleh hamil. Justeru, pendapat mengatakan wanita tidak akan hamil jika bersetubuh ketika dalam haid adalah tidak betul.

Pada pendapat saya, sebagai seorang Islam, kita perlu ikut hukum. Hubungan seksual masih boleh dilakukan ketika wanita itu kedatangan haid tetapi tanpa seks, seperti sentuhan intim di bahagian atas pusat.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan